Kuala Lumpur, 15 Disember 2025 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menekankan keperluan pelaksanaan saringan yang lebih tersusun terhadap kontraktor bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar aktif dan berkeupayaan diberi ruang dalam sektor pembinaan negara.
Beliau menyatakan langkah ini penting untuk mengelakkan persaingan tidak sihat yang akhirnya merugikan kontraktor sebenar serta menjejaskan kelangsungan industri secara keseluruhan.

Ucapan tersebut disampaikan semasa Zahid Hamidi menyempurnakan Majlis Makan Malam sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kali Ke-46 di World Trade Centre Kuala Lumpur, malam tadi.
Zahid juga menekankan perlunya memperkukuh kepercayaan terhadap sistem dan kementerian agar pelaksanaan projek berjalan lancar. Beliau menegaskan isu kelewatan projek perlu dilihat secara adil dan menyeluruh, termasuk faktor pembayaran tertangguh.”Kontraktor tidak mungkin dapat meneruskan kerja tanpa aliran peruntukan yang teratur,” katanya.
Kerajaan, tambah Zahid, komited memastikan ekosistem industri pembinaan yang lebih telus, berdaya saing dan mampan. Beliau berharap melalui kerjasama erat antara kerajaan, persatuan serta pemain industri, sektor ini dapat terus diperkasa sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan, serta Presiden PKMM, Rosdi Ab Aziz.
