Oleh Haezreena Begum Abdul Hamid
Malaysia sekali lagi digegarkan oleh jenayah ganas. Daripada femisid dan familisid hingga pembunuhan antara kenalan dan serangan oleh orang tidak dikenali, setiap tragedi meninggalkan masyarakat terpaku dan tertanya-tanya tentang bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?. Penemuan sisa-sisa mayat enam individu di kawasan terpencil di Johor menjadi peringatan pahit bahawa jenayah bukan sesuatu yang jauh. Ia berlaku apabila pertimbangan runtuh, emosi menguasai akal, dan akibat dipandang ringan.
Perbincangan awam semestinya tertumpu kepada mangsa dan sememangnya wajar sebegitu. Namun ada satu realiti yang jarang disebut: trauma yang ditanggung oleh mereka yang melakukan jenayah itu sendiri. Ini bukan untuk membela pesalah, tetapi untuk memahami hakikat penting yang jenayah bukan kemenangan. Ia hanya memberikan untung sementara, tetapi meninggalkan kerosakan jangka panjang.
Kajian kriminologi telah lama menunjukkan bahawa jenayah sering lahir daripada pemikiran jangka pendek. Ia lazim berlaku dalam keadaan tertekan seperti masalah kewangan, rasa terhina, rasa dipulau atau diasingkan dan seseorang mungkin melihat jenayah sebagai jalan pintas. Pada saat itu, minda mula merasionalisasikan: “Ini akan selesai.” “Aku berhak.” Atau “Aku takkan tertangkap.” Pada waktu itu, jenayah kelihatan seperti keputusan yang masuk akal padahal hakikatnya ia tindakan yang merosakkan.
Apa yang jarang difikirkan oleh pelaku ialah kesan selepas perbuatan itu. Rasa bersalah, kebimbangan, tekanan emosi dan konflik dalaman sering menghantui pelaku. Walaupun hukuman undang-undang dapat dielakkan, beban psikologi tetap wujud. Tindakan yang disangka membawa kelegaan akhirnya menjadi sumber tekanan yang berpanjangan.
Jika jenayah berulang, kesannya semakin berat. Individu mula melihat diri hanya melalui kesalahan terburuk yang pernah dilakukan. Rasa malu berubah menjadi identiti. Akibatnya seseorang itu akan merasakan agak sukar untuk keluar daripada kitaran jenayah bukan kerana ianya mustahil, tetapi kerana luka psikologi yang dirasai pelaku.
Kesan jenayah juga melimpah ke kehidupan sosial. Walaupun rekod jenayah tidak secara undang-undang menghalang seseorang membina semula kehidupan termasuk mendapatkan pekerjaan atau memiliki rumah, proses integrasi semula ke dalam masyarakat kadangkala menjadi rapuh. Masalah seperti stigma, pendapatan tidak stabil dan hubungan yang retak menambahkan beban si pelaku. Keluarga turut menanggung tekanan emosi dan kewangan yang berpanjangan.
Hakikat ini tidak sedikit pun mengurangkan penderitaan mangsa. Sebaliknya, ia menunjukkan satu kebenaran penting: jenayah memusnahkan pelaku dan mangsa dari pelbagai arah. Keputusan yang kelihatan menguntungkan seketika sering membawa kegagalan peribadi yang berpanjangan iaitu dari sudut moral, psikologi dan sosial.
Sebab itu pencegahan bukan sekadar soal hukuman. Ia tentang memahami bagaimana manusia merasionalisasikan perbuatan salah. Jenayah berlaku apabila akibat tidak difikirkan. Pencegahan yang paling efektif adalah apabila seseorang itu berhenti dan bertanya “Apa yang akan jadi selepas ini? Berbaloikah saat ini dengan kesan bertahun-tahun?”
Penyelidikan pemulihan menguatkan hakikat ini. Program rehabilitasi yang menangani trauma, identiti dan cara membuat keputusan membantu memutuskan kitaran jenayah. Pencegahan sebenar bukan hanya melalui institusi, ia juga melalui perubahan dalam cara berfikir.
Akhirnya, kita harus faham bahawa jenayah hanyalah ilusi berbahaya. Ia kelihatan seperti jalan mudah tetapi membawa harga yang mahal dan tidak setimpal. Trauma seperti rasa bersalah, stigma dan identiti yang musnah mungkin tidak akan menjadi tajuk utama, tetapi ia akan terus menghantui kehidupan selepas perbuatan itu berlaku.
Jika ada satu pengajaran kriminologi yang perlu diingati, ia adalah keputusan jangka pendek yang boleh membawa kepada kesan jangka panjang yang tidak dapat dipadamkan dan boleh memusnahkan diri. Kekuatan sebenar ialah menahan dorongan, mempersoalkan naratif dalaman dan memilih jalan yang melindungi masa depan.
Jenayah bukanlah sebuah kemenangan. Ia keputusan yang bayangnya boleh menghantui seumur hidup.

Dr Haezreena Begum Abdul Hamid ialah Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya
