Kuala Lumpur, 12 Februari 2026 – Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok Suh Sim hari ini mengeluarkan kenyataan media rasmi menjawab kenyataan terkini Datuk Jamal Yunos yang mengulangi tuduhan lama dan menggesa supaya “perkara melibatkan nama beliau dibuka semula”.
Dalam kenyataan bertarikh 11 Februari 2026 itu, Teresa Kok menyatakan beliau telah lama menunjukkan kesabaran dengan tidak menjawab setiap provokasi, kerana tidak mahu rakyat terheret dalam serangan politik berterusan demi perhatian peribadi.
Beliau bagaimanapun melahirkan kebimbangan bahawa tindakan Jamal Yunos kini telah melangkaui sempadan kritikan politik biasa, sebaliknya menjadi serangan peribadi yang kasar dan tidak bermoral.
Antara yang dikritik Teresa Kok ialah sindiran Jamal Yunos terhadap jumlah pampasan yang diperintahkan mahkamah, yang didakwa memperlekehkan keputusan kehakiman serta mencerminkan sikap tidak menghormati proses undang-undang.
Teresa Kok turut menekankan bahawa terdapat perintah injungsi Mahkamah Tinggi yang masih berkuat kuasa, yang melarang pengulangan kenyataan berunsur fitnah. Beliau menganggap sebarang pelanggaran perintah itu sebagai perkara serius yang boleh membawa kepada prosiding penghinaan mahkamah.
“Saya amat kesal Datuk Jamal terus memprovokasi dan berkeras dengan kenyataan-kenyataan yang hanya mampu mencetuskan ketegangan, mewujudkan ketidakharmonian serta melemahkan kedaulatan undang-undang,” kata Teresa Kok.
Beliau berharap Jamal Yunos dapat bermuhasabah dan menghentikan sindiran berunsur fitnah pada masa hadapan.
Namun, Teresa Kok memberi amaran tegas: sekiranya kenyataan berunsur fitnah itu berterusan atau terdapat pelanggaran lanjut terhadap perintah injungsi, beliau tidak akan teragak-agak mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang sewajarnya, termasuk prosiding penghinaan mahkamah.
“Ini bukanlah tindakan yang saya ambil ringan, namun ia mungkin tidak dapat dielakkan sekiranya tingkah laku tidak bertanggungjawab ini berterusan,” tegasnya.
Kenyataan penuh Teresa Kok telah diedarkan melalui saluran media rasminya. Sehingga kini, tiada respons rasmi daripada Datuk Jamal Yunos terhadap kenyataan terbaharu ini.
