Sologami menyimpang dari syariat Islam dan adat Melayu

Oleh Mohd Anuar Ramli

Gambar hiasan oleh Muhammad Qayyum Abdul Rahman – Unsplash

Perkahwinan merupakan ikatan suci dalam Islam. Ini kerana ia sebahagian daripada pensyariatan buat umat Islam. Akad nikah yang sah akan membezakan antara hubungan yang sah ataupun yang haram seperti perzinaan. Asasnya, hanya dua bentuk perkahwinan yang disyariatkan, iaitu dalam bentuk monogami dan poligami. Bentuk monogami yang melibatkan perkahwinan seorang lelaki dengan seorang perempuan lebih banyak diamalkan berbanding poligami yang melibatkan seorang lelaki dan lebih seorang perempuan.

Namun begitu, dalam perkembangan masa kini, telah wujud bentuk perkahwinan yang berbeza daripada konsep asalnya, iaitu berpasangan dan berlawanan jantina antara lelaki dan perempuan. Ia dinamakan sebagai sologami atau autogami, yang bermaksud perkahwinan yang dilakukan oleh seseorang dengan diri sendiri. Amalan ini bertentangan secara konseptual dengan istilah perkahwinan malahan ia menyeleweng daripada panduan syariat dan norma adat resam dalam masyarakat Melayu. Walaupun amalan sologami masih dianggap pelik dalam kebanyakan budaya masyarakat, namun ia semakin tersebar melalui media sosial baharu dan ruang awam.

Pada dasarnya, ia boleh dikatakan sebagai satu bentuk protes terhadap sistem perkahwinan tradisional, malahan ia juga adalah satu bentuk respons terhadap trauma digital, kehampaan sosial dan krisis kekosongan jiwa dalam kalangan masyarakat kini. Trauma digital berpunca daripada tekanan psikologi yang bersumberkan media sosial baharu. Saban hari para pengguna media sosial disogokkan dengan kes keganasan rumah tangga yang melibatkan penderaan, pengabaian nafkah serta pembunuhan pasangan. Momokan kisah tragis setiap hari ini menimbulkan rasa ketakutan untuk berpasangan dan mendirikan rumah tangga. Ia mendorong seseorang untuk memilih alternatif berkahwin dengan diri sendiri sebagai satu bentuk pemerkasaan diri dan perlindungan diri dari keganasan. Di samping itu kehampaan sosial dan kekecewaan dalam kegagalan hubungan silam juga menyebabkan seseorang memilih untuk menyayangi diri sendiri. Mereka merasai penderitaan hidup berpasangan kerana tidak menikmati hubungan bahagia lagi bermakna. Bahkan dalam dunia yang serba materialistik, sesetengah orang merasakan komitmen secara tradisional sebagai beban dan tiada kebebasan. Selain itu, kekosongan jiwa dan rohani pasca modenisme turut mendorong gejala sologami. Orang yang tiada makna serta arah hidup yang jelas dan jauh jarak dalam hubungan dengan Allah SWT menyebabkan mereka cenderung untuk mencari kebahagiaan melalui hubungan yang palsu dan menipu diri sendiri untuk perjuangkan rasa cinta yang sia-sia. Lama kelamaan situasi ini akan menyebabkan mereka tersungkur dan kemurungan di kemudian hari.

Dalam konteks Islam, sologami menimbulkan pelbagai polemik dari sudut hukum syarak, norma sosial, objektif perkahwinan, dan kelangsungan sesebuah masyarakat. Ini kerana dalam hukum Islam, perkahwinan merupakan sebuah ikatan yang suci di antara lelaki dan perempuan. Hubungan ini menjadi sah melalui akad nikah dan cukup rukun serta syaratnya. Tujuannya tidak lain melainkan untuk memelihara keturunan dan memenuhi naluri seksual manusia secara sah di samping mewujudkan ketenangan dan kasih sayang dalam rumah tangga. Ia juga bagi menimbulkan rasa kebersamaan antara pasangan dalam hubungan yang bertimbal balik di antara tanggungjawab dan hak. Dalam hal ini, Allah SWT telah berfirman dalam ayat 21, surah al-Rum, maknanya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Selain itu, amalan sologami juga bertentangan dengan adat resam masyarakat Melayu yang amat menekankan adat perkahwinan dalam membentuk sebuah keluarga yang harmoni dan rukun. Begitu juga dari aspek perundangan, amalan ini bukanlah satu pernikahan yang sah dan diiktiraf dalam Undang-undang Keluarga Islam. Pengamalannya lebih bersifat simbolik dan peribadi. Ia lahir daripada budaya masyarakat bukan Islam yang memperjuangkan individualisme dan autonomi diri, pemerkasaan diri, kebebasan dari ikatan, bebanan nikah dan cengkaman budaya patriarki. Peniruan terhadap budaya asing ini jelas bercanggah dengan hukum Islam.

Hakikatnya perkahwinan dalam Islam bukan hanya menfokuskan tentang pasangan lelaki dan perempuan semata-mata, malah ia adalah sebahagian daripada ibadah yang mampu mendekatkan diri manusia dengan Allah SWT. Ia juga mencerminkan perkongsian dan kerjasama antara suami isteri, bukan perjuangan berbentuk individualistik. Ini kerana ia adalah amanah yang bakal dipertanggungjawabkan. Justeru, hubungan suami dan isteri berimbangan di antara hak dan kewajipan kedua-dua pihak.

Sehubungan dengan itu, amalan sologami ini perlu dihindari oleh umat Islam kerana ia mampu merosakkan institusi keluarga dan menggugat keharmonian masyarakat Islam. Kemodenan bukan alasan manusia meninggalkan ajaran agama. Sedangkan Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada menyintai diri sendiri, bahkan Allah SWT telah memerintahkan umat Islam agar tidak menjerumuskan diri dalam kancah kebinasaan. Akan tetapi dalam menyintai diri sendiri perlu selari dengan panduan syariat. Carilah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi secara tuntas, bukan sekadar peniruan terhadap ritual orang bukan Islam semata-mata yang akhirnya akan menimbulkan dampak negatif kepada diri sendiri. Oleh itu, jangan menggantikan makna sebuah ikatan suci yang bernuansakan ibadah dan tanggungjawab dengan satu amalan yang mementingkan diri dan bersifat individualistik demi mengejar kebahagiaan yang palsu.


Mohd Anuar Ramli

Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli ialah Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp