Oleh Muhammad Azrul Zabidi
Perbincangan tentang masa hadapan pendidikan tinggi melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 wajar dimulakan dengan persoalan paling asas; apakah hakikat sebenar sebuah universiti?
Secara etimologi, istilah universiti berasal daripada bahasa Latin universitas magistrorum et scholarium yang membawa maksud komuniti guru dan sarjana. Universiti bukan sekadar sebuah institusi fizikal, tetapi sebuah ekosistem intelektual dan moral yang berfungsi sebagai ruang pertemuan ilmu, nilai, dan pembentukan insan.
Sejarah membuktikan bahawa universiti tertua di dunia lahir daripada tamadun Islam, antaranya Universiti al-Qarawiyyin (859M) dan Universiti al-Azhar (970M). Dalam tradisi Islam, institusi ini dikenali sebagai jamiah, daripada kata akar jamaa yang bermaksud menghimpunkan, bukan sahaja manusia, tetapi hikmah, adab, dan tanggungjawab sosial. Universiti pada asalnya berfungsi sebagai pusat pembinaan insan berilmu yang sedar akan peranan mereka dalam masyarakat dan hubungan mereka dengan Pencipta.
Namun, dalam dunia moden yang dipacu oleh Revolusi Perindustrian yang kini melangkaui fasa keempat (IR 4.0), universiti semakin terperangkap dalam logik industri. Ia beransur-ansur berubah menjadi sebuah kilang akademik: mengeluarkan graduan secara mekanikal, mengoptimumkan pengeluaran penerbitan, dan menilai kecemerlangan melalui angka, indeks, dan kedudukan semata-mata.
Dalam konteks inilah RPTM 2026–2035 muncul sebagai usaha pembaharuan strategik yang signifikan, bukan sekadar untuk meningkatkan daya saing global, tetapi untuk mengembalikan universiti kepada fitrahnya sebagai institusi yang memanusiakan manusia.
Membentuk insan alim dan beradab
RPTM 2026–2035 berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta prinsip MADANI dengan matlamat melahirkan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pelan ini menandakan anjakan penting: daripada pembangunan bakat yang berorientasikan output dan kebolehpasaran semata-mata, kepada pembangunan insan yang berteraskan nilai dan kemanusiaan.
Dalam tradisi keilmuan Islam, cita-cita pendidikan adalah melahirkan insan alim individu yang bukan sahaja menguasai ilmu dan kemahiran, tetapi memahami tujuan kewujudan, amanah sosial, serta adab dalam menggunakan ilmu. Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas mengingatkan bahawa ilmu tanpa adab akan melahirkan kekeliruan epistemologi, kezaliman intelektual dan kerosakan moral. The loss of adab, menurut beliau, berpunca daripada kerosakan tradisi keilmuan, keciciran hikmah serta penghakisan nilai keadilan dalam sistem pendidikan.
Tanpa nilai, manusia berpendidikan tinggi tidak lebih daripada sebuah mesin pintar. Graduan mungkin cemerlang dari sudut teknikal, tetapi tanpa integriti dan kesedaran moral, mereka mudah terjerumus dalam penyelewengan, rasuah, dan penyalahgunaan kuasa, masalah yang masih menghantui negara. Justeru, gagasan humaniversity diperkenalkan bagi “menyah-kilangkan” universiti: mengalihkan fokus daripada sekadar mengejar ranking dan KPI kepada pembinaan elemen tidak ketara (intangibles) seperti etika, amanah, kejujuran, dan kesopanan.
Pendidikan dan karamah insaniah (kemuliaan insan)
Satu isu kritikal yang sering terpinggir dalam wacana pendidikan tinggi ialah kedudukan dan martabat pendidik itu sendiri. Dalam realiti semasa, pendidik atau pensyarah kadangkala direncanakan seolah-olah mesin pengeluaran, mencetak penerbitan, menghasilkan geran, menyampaikan kuliah, dan memenuhi KPI dalam kerangka masa birokratik yang kaku.
Budaya publish-or-perish yang melampau bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan mental dan emosi warga akademik, malah berpotensi menghakis integriti akademik. Di peringkat global, tekanan sistemik seperti ini telah dikaitkan dengan peningkatan kes pemalsuan data, penerbitan predatori, dan penyelidikan yang kehilangan makna sosial.
RPTM 2026–2035, khususnya melalui Lonjakan Kedua: Bakat Berprestasi Tinggi Dipacu Matlamat, berusaha membetulkan ketidakseimbangan ini. Pelan ini menegaskan bahawa pendidik bukan robot pelaksana dasar, tetapi insan berakal dan beradab yang perlu dihargai kebijaksanaan serta autonomi akademiknya. Universiti tidak seharusnya terlalu paternalistik dan autoritarian sehingga mematikan kepercayaan dan kreativiti, sebaliknya perlu mengimbangi kebebasan akademik dengan tanggungjawab pembentukan insan. Justeru, untuk mendidik manusia, pelaksana utamanya iaitu para ahli akademik mestilah manusia yang dimuliakan dan memuliakan sesama insan.
Antara kecemerlangan dan keadilan sosial
Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam pendidikan tinggi. Kadar enrolmen meningkat daripada 48% pada tahun 2014 kepada 59% pada 2024, manakala kebolehpasaran graduan mencecah 92.5%. Di peringkat antarabangsa, Universiti Malaya berada dalam kelompok 100 terbaik dunia, dan sistem pendidikan Malaysia berada di tangga ke-14 global menurut Indeks Pendidikan Global 2024.
Dalam konteks kelestarian dan impak sebagai institut pengajian tinggi pula, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengungguli pelbagai penarafan universiti dunia berasaskan agenda kelestarian, termasuk pengiktirafan tinggi dalam UI GreenMetric World University Rankings serta Times Higher Education Impact Rankings. Pencapaian ini mencerminkan peranan universiti sebagai pemacu pembangunan mampan yang mengintegrasikan pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Namun, pencapaian ini perlu dibaca dengan kritikal. Ranking dan statistik akan kehilangan makna jika masyarakat di sekeliling universiti masih bergelut dengan kemiskinan, ketidaksamarataan, dan keterbatasan akses pendidikan. Universiti tidak boleh menjadi menara gading yang terasing, meraikan penerbitan berimpak tinggi tanpa impak sebenar kepada rakyat.
RPTM 2026–2035 mengenal pasti 11 jurang utama, termasuk aksesibiliti golongan terpinggir. Komitmen terhadap golongan masyarakat biasa (bottom billion) perlu diterjemahkan melalui mekanisme lestari seperti pemerkasaan dana wakaf dan zakat, contohnya melalui Pejabat Zakat, Wakaf dan Infaq (ZAWAIN) Universiti Sains Malaysia, agar pendidikan tinggi kekal sebagai alat mobiliti sosial yang adil dan inklusif.
Sebagai kesimpulan, RPTM 2026–2035 bukan sekadar pelan strategik, tetapi sebuah dokumen hidup yang berusaha mengembalikan roh universiti. Universiti mesti kekal bebas daripada pengaruh politik sempit dan kepentingan komersial jangka pendek agar dapat berkhidmat untuk komuniti dan negara. Dengan beralih daripada paradigma kilang kepada ekosistem humaniversity, Malaysia berpotensi melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam STEM, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi termaju, tetapi juga berjiwa manusiawi, berintegriti, dan berkeupayaan membina peradaban negara yang lestari.

ChM. Dr. Muhammad Azrul Zabidi ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM)
