Papar, 24 Disember 2025 – Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, hari ini berkongsi pengalaman peribadi tentang keunikan salasilah keluarga di Sabah yang melibatkan perkahwinan campur pelbagai kaum dan agama, sebagai contoh nilai kebersamaan dan toleransi dalam masyarakat.
Dalam satu catatan yang dikongsikan, Armizan menjelaskan bahawa sebahagian besar masyarakat Sabah mempunyai latar belakang kekeluargaan yang pelbagai, yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian dan menyemai nilai toleransi.

“Inilah kisah rakyat kita di Sabah, dan inilah cerita keluarga saya,” kata Armizan.
Beliau mendedahkan bahawa dari sebelah nenda, salasilah akar keluarga ibunya berketurunan Kadazan Dusun, di mana beliau merupakan generasi ke-10 daripada cabang keluarga Potou dalam rumpun keluarga besar Samat Mukaie.
Rumpun keluarga Samat ini, tambahnya, berkembang hasil perkahwinan campur daripada pelbagai kaum dan agama, merentasi negeri dan bahkan negara.
“Namun, perbezaan ini bukan pemisah. Setiap perayaan yang disambut kami raikan bersama kerana hakikatnya ia adalah perayaan yang diraikan oleh sebahagian daripada ahli keluarga kami sendiri, termasuk Perayaan Krismas,” ujar Armizan.
Beliau turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya, khususnya ahli keluarga besar Samat, rakan taulan serta seluruh warga Papar.
“Moga sambutan ini menjadi wahana yang dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, tolerasi dan mengukuhkan perpaduan sesama kita,” tambahnya.
Armizan juga mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu, dengan harapan 2026 menjadi tahun yang lebih bernilai, bermakna dan membawa kemakmuran berganda buat Malaysia.
Kisah peribadi ini dilihat sebagai mesej positif sempena musim perayaan, selaras dengan kepelbagaian budaya dan etnik yang menjadi kelebihan Sabah serta Malaysia secara keseluruhan.
