Oleh Syazreen Nadia Sulaiman
Berapa ramaikah antara kita yang benar-benar meneliti kandungan di sebalik setiap produk yang dibeli? Di sebalik botol yang nampak mewah, tertera barisan tulisan halus serta pelbagai simbol yang sering kita pandang sepi. Mata mungkin menangkap imej arnab kecil, logo daun hijau, atau kod NOT yang panjang, namun adakah kita faham maksudnya atau sekadar melihatnya sebagai hiasan untuk menyedapkan hati? Hakikatnya, simbol-simbol inilah yang memberitahu kita kualiti sebenar di sebalik setiap titisan produk tersebut.
Tanpa kita sedari, membelek botol produk di rak farmasi sebenarnya adalah satu sesi “temuduga” kecil terhadap integriti sesuatu jenama. Kita bukan lagi sekadar mencari keberkesanan semata-mata, tetapi sedang memastikan bahawa pilihan tersebut selari dengan nilai serta prinsip kehidupan yang kita junjung. Memahami label ini bukanlah satu bebanan akademik, sebaliknya ia adalah langkah pertama untuk memastikan setiap bahan aktif yang menyentuh tubuh itu benar-benar jujur, telus, dan selamat bagi jangka masa panjang.
Bagi kita di Malaysia, prinsip ini selari dengan tuntutan syarak untuk mencari yang Halalan Tayyiban (halal lagi baik). Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 168: “Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik…”. Prinsip ini tidak terhad kepada makanan sahaja, malah merangkumi apa yang kita gunakan pada tubuh badan. Oleh itu, logo Bulan Bintang atau label “Halal” selalunya menjadi keutamaan yang paling utama. Ia menjamin proses pembuatan yang bersih, selamat, dan beretika dari mula sampai akhir.
Kebiasaannya, perkara lain yang turut menarik perhatian ialah label “Natural” yang sering digambarkan dengan logo daun hijau. Ramai yang menganggapnya sama dengan label “Organic”, namun hakikatnya terdapat perbezaan yang nyata. Label “Natural” hanyalah isyarat awal bahawa bahan berasal daripada tumbuhan, namun ia boleh menjadi sekadar hiasan jika peratusan bahan tersebut terlalu sedikit. Berbeza dengan label “Organic” yang membawa logo pengiktirafan rasmi seperti Ecocert atau Cosmos; ia bukan sahaja menjamin bahan semula jadi, malah membuktikan bahan tersebut ditanam secara organik tanpa racun perosak.
Seterusnya, cuba cari kalau ada simbol arnab kecil pada botol anda. Itulah label “Cruelty-Free”, tempat di mana rasa ihsan kita mula memainkan peranan. Islam sangat menekankan sifat ihsan terhadap haiwan, maka logo ini menjamin tiada nyawa yang diseksa di makmal demi kecantikan kita. Begitu juga dengan logo Vegan (daun bertangkai V), yang memastikan tiada bahan berasaskan haiwan digunakan. Memilih logo ini adalah cara kita menyatakan pendirian bahawa penjagaan diri kita tidak seharusnya dibina di atas eksploitasi nyawa lain.
Selain aspek etika dan ihsan, kandungan bahan di dalam produk juga menjadi aspek yang kini semakin diperhalusi oleh pengguna. Label seperti “PEG-Free” dan “Paraben-Free” mula menjadi buruan bagi mereka yang ingin mengelakkan risiko sisa kimia jangka panjang pada kulit. Label ini memberi jaminan bahawa bahan pelembap sintetik atau pengawet tertentu telah digantikan dengan sumber yang lebih lembut, seperti gliserin tumbuhan atau sumber kelapa. Malah, bagi anda yang sering berdepan masalah pori tersumbat, simbol “Non-Comedogenic” adalah jaminan visual bahawa formulasi produk tersebut tidak akan mencetuskan masalah jerawat,.
Sambil membelek kandungan, jangan lupa tengok simbol anak panah segi tiga (Sustainable) sebagai tanda kita menyokong usaha mengurangkan pencemaran bumi menerusi pembungkusan yang boleh dikitar semula. Namun, dalam banyak-anyak simbol, yang paling perlu diambil berat juga adalah kod NOT KKM sebagai bukti sahih produk tersebut sudah disemak oleh pihak berkuasa dan bebas daripada racun berbahaya seperti merkuri,.
Sebagai kesimpulan, label pada botol hari ini adalah cerminan kepada cara kita berfikir sebagai pengguna yang bertanggungjawab. Memilih yang halal dan selamat bukan sekadar strategi kecantikan, tetapi satu ibadah dalam menjaga kurniaan Tuhan. Dengan memahami maksud di sebalik setiap logo, kita bukan sahaja menjaga kesihatan tubuh, malah kita sedang menghormati kehidupan, kebajikan makhluk lain, dan kelestarian alam sekitar yang kita kongsi bersama,.

Dr. Syazreen Nadia Sulaiman ialah Pensyarah Kanan di Bahagian Kimia, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya
