PUTRAJAYA, 28 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM 2025) peringkat kementerian, selaras dengan tema Bulan Kebangsaan 2025 iaitu “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”.

Pelancaran ini menekankan nilai patriotisme, perpaduan dan kecintaan kepada tanah air, sambil menjadikan kepentingan rakyat sebagai teras dasar, program serta inisiatif kerajaan.
Antara aktiviti utama yang dirancang termasuk Pertandingan Kuiz 5763, Pertandingan Kolaj@Merdeka, Pertandingan Merdeka Explorace dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Bulan Kebangsaan.
Selain itu, agensi di bawah KPDN turut memperkenalkan inisiatif khas sempena sambutan ini.

Pertama, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan diskaun pendaftaran cap dagangan melalui kempen “Lindungi Jenama Lokal, Tembusi Pasaran Global”. Kempen ini berlangsung selama empat bulan bermula 1 September hingga 31 Disember 2025, dengan pengurangan fi sebanyak RM300.
Pemohon hanya perlu membayar RM650 berbanding RM950 asal untuk setiap permohonan cap dagangan bagi individu, entiti perniagaan, persatuan atau pertubuhan. Setiap pendaftaran yang diluluskan akan melindungi jenama atau logo perniagaan selama 10 tahun di bawah undang-undang harta intelek.
Inisiatif ini bertujuan menggalakkan pendaftaran harta intelek, sekali gus meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta jenama tempatan. Menurut data SME Corp, 96.1 peratus entiti perniagaan di Malaysia adalah PMKS, dengan lebih 70 peratus daripadanya merupakan perusahaan mikro.
Kedua, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan Bas Ezbiz On-The-Go 2.0 sebagai perkhidmatan bergerak untuk memudahkan akses kepada perkhidmatan SSM dengan lebih cepat, mudah dan selesa.
Bas baharu ini menggantikan versi lama dengan reka bentuk lebih kontemporari dan mesra pelanggan, termasuk penggunaan teknologi terkini. Antara kemudahan dipertingkatkan ialah saiz bas yang lebih besar, kaunter moden, terminal layan diri dengan kiosk skrin sesentuh mudah alih serta ruang taklimat selesa.
Bas ini didaftarkan dengan nombor pendaftaran khas 1604, simbolik kepada tarikh penubuhan SSM pada 16 April 2002.
Sementara itu, rakan strategik KPDN, Shopee, turut menyertai sambutan dengan melancarkan “Kempen Shopee Payung RM100” bermula 27 Ogos 2025. Kempen ini berlangsung dari 31 Ogos hingga 16 September 2025.
Melalui kempen itu, pelanggan boleh mendapatkan baucar Shopee bernilai RM100 dengan hanya membayar RM1. Shopee memperuntukkan RM10 juta untuk kempen ini, yang dijangka memberi manfaat kepada 100,000 pelanggan.
Baucar tersebut boleh digunakan untuk membeli barangan dalam platform Shopee seperti ShopeeFood, Shopee Live dan ShopeePay.
Shopee juga menawarkan penghantaran percuma bagi pembelian sepanjang tempoh kempen.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata inisiatif-inisiatif ini adalah manifestasi komitmen menyantuni rakyat dan tanda penghargaan atas kebersamaan seluruh bangsa Malaysia dalam membina negara yang lebih aman dan makmur.
“Inisiatif yang dilaksanakan oleh agensi-agensi KPDN dan rakan strategik dalam sektor e-dagang seperti Shopee ini menunjukkan komitmen kami untuk menjadikan rakyat sebagai keutamaan,” katanya dalam kenyataan media.