Kota Kinabalu, 15 Disember 2025 – Kerajaan Negeri Sabah akan menganjurkan Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah bermula 16 hingga 19 Disember 2025 bertempat di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Ewon Benedick yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama sambutan Krismas yang sebelum ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Sabah Council of Churches (SCC) diangkat sebagai sambutan di peringkat negeri.

Penganjuran ini mencerminkan keterbukaan serta komitmen Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam menyokong sambutan perayaan keagamaan.
Sambutan ini akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, pada 16 Disember 2025, manakala majlis penutupan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada 19 Disember 2025.
Tema sambutan tahun ini ialah “Pengharapan Damai Dalam Kasih” (Hope For Peace In Love), yang menekankan nilai perpaduan, keharmonian, kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama, selaras dengan wawasan Sabah First.
Selain pelbagai pengisian pentas, turut diadakan Jamuan Rakyat yang melibatkan 100 usahawan dari kalangan penjaja tempatan sebagai pembekal pelbagai juadah, sebagai sokongan kerajaan kepada perusahaan mikro dan kecil.
Ewon menjemput seluruh rakyat Sabah hadir untuk memberi nilai dan makna kepada sambutan ini.
Maklumat lanjut mengenai atur cara sambutan boleh diperolehi melalui media sosial rasmi Datuk Ewon Benedick, Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, DBKK serta Jabatan Penerangan Negeri Sabah.
