HULU LANGAT, 14 Disember 2025.– Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini melancarkan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) di Kampung Sungai Lui, Batu 20, Hulu Langat, Selangor, sebagai usaha memperkasakan komuniti desa selaras dengan seruan Perdana Menteri mengenai pembangunan kawasan luar bandar.
Program ini, yang dipilih sebagai lokasi KAM KBS bagi tahun 2025, dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Selangor, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Majlis Belia Daerah Hulu Langat, serta persatuan belia dan komuniti setempat.
Menurut siaran media KBS, pelbagai projek fizikal telah dijalankan untuk menaik taraf infrastruktur komuniti. Antaranya termasuk menaik taraf dua gelanggang serbaguna di Lorong 3, kerja-kerja menurap jalan dan tempat letak kenderaan di Masjid Kampung Sungai Lui, menaik taraf Pusat Komuniti beserta membaik pulih perabot, serta pembaikan gelanggang silat berbumbung di Sekolah Kebangsaan Sungai Lui. Selain itu, kerja-kerja baik pulih Dewan Serbaguna serta pembaikan gelanggang futsal dan bola jaring juga turut dilaksanakan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik)
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI KBS 2025 di Kampung Batu 20, Sungai Lui, Hulu Langat pada hari ini
Selain pembangunan fizikal, KBS turut melaksanakan pelbagai program pembangunan belia dan sukan bagi membina kemahiran dan semangat komuniti. Senarai program termasuk gotong-royong menyelenggara sistem pendawaian elektrik, penyaman udara dan van jenazah di masjid; Jelajah Promosi Rakan Muda@Hulu Langat; Program Pembangunan Usahawan Belia; Sukan@Komuniti Sg. Lui (sukan tradisional); Riff & Rhythm – Kelas Muzik Belia; Startup Squad – Kursus Asas Artificial Intelligence (AI), Asas Pendaftaran Badan Sukan dan Belia; Festival Kampung Sempena Kampung Angkat Madani KBS 2025; Plogging Komuniti Bersama Satria@Sg Lui; Shuttle Hustle – Klinik Badminton@ Sg. Lui; Funkick Futsal Sg. Lui; Mini Karnival Rakan Muda; Bootcamp Belia ‘Rise & Lead’; serta Smash & Serve – Klinik Pickleball@ Sg Lui.
“Program Kampung Angkat MADANI ini diyakini dapat memberi impak positif dan berpanjangan kepada komuniti Kampung Sungai Lui dengan penyediaan kemudahan yang lebih baik serta peluang pembangunan belia yang menyeluruh,” kata siaran media tersebut.
KBS berharap komuniti setempat dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan program yang disediakan, sambil terus bekerjasama untuk memastikan kesinambungan projek. Ini selari dengan aspirasi kerajaan MADANI untuk kesejahteraan masyarakat luar bandar, di mana Kampung Sungai Lui dijangka berkembang sebagai komuniti progresif, mampan dan sejahtera.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS (empat dari kiri), Puan Azura Hj Sabrin
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) (kanan sekali), Encik Syamsul Tahrin bin Mohd Tahir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor (dua dari kiri), Encik Mohd Ramdan Kamso Ketua Kampung Batu 20, Kg Sg Lui, Hulu Langat (tiga dari kanan)
