Kuala Lumpur, 15 Disember 2025 – Kumpulan nasyid popular tanah air, Inteam, membuat kemunculan semula dengan single terbaru bertajuk “Satukan Kami Di Syurga”, hasil ciptaan komposer terkenal Farouk Roman dan lirik daripada personaliti TV serta penulis, Fedtri Yahya.
Lagu ini menandakan kolaborasi istimewa yang membawa nafas baharu kepada genre nasyid kontemporari, dengan Farouk Roman – yang terkenal melalui karya-karya hit bersama artis seperti Khai Bahar, Hazama dan Dato’ Siti Nurhaliza – menyuntik elemen segar dalam aransemen muzik.

Anggota Inteam meluahkan rasa gembira dengan kerjasama ini. Hazamin Inteam berkata, “Kami berharap lagu ini mampu menjadi fenomena, dan dekat di hati pendengar.”
Syah Inteam menambah, “Lagu ini sangat universal, mudah diterima dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.”
Rahim Inteam pula optimis, “Lagu ini ada potensi besar untuk jadi popular, ia memberi nafas baharu buat kami.”
Manakala Hisyam Inteam menyifatkan, “Ia bukan sekadar lagu – ia perlu disampaikan dengan rasa dan keikhlasan yang mendalam.”
Yang menambah keistimewaan, muzik video lagu ini menampilkan pasangan selebriti Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama anak-anak mereka. Ini merupakan penampilan semula mereka dalam muzik video Inteam selepas lagu “DIA” pada 2019.

