PAPAR, 23 November 2025 – Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, menyambut baik penganjuran Kempen Derma Darah yang diadakan oleh Persatuan Pemuda Hakka Papar pada pagi Ahad di Pejabat Persatuan Hakka Papar.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosialnya, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menekankan kepentingan kempen seumpama ini bagi menangani kekurangan bekalan darah negara.
Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia memerlukan antara 2,000 hingga 2,200 beg darah setiap hari, iaitu lebih 730,000 beg setahun, untuk menampung keperluan rawatan dan kecemasan di hospital-hospital seluruh negara.
Bagaimanapun, hanya 2.3% penduduk Malaysia menjadi penderma darah tetap pada masa ini – jauh lebih rendah daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan sekurang-kurangnya 5% penduduk perlu menjadi penderma.
“Atas sebab itu, inisiatif seperti kempen hari ini amat penting untuk diperkasakan dan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan bekalan darah negara, khususnya di Papar, sentiasa mencukupi,” tegas Armizan.
Beliau turut mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Persatuan Pemuda Hakka Papar atas komitmen murni mereka menganjurkan program itu, serta menghargai kesudian warga Papar yang hadir dan menderma darah demi kesejahteraan bersama.
Kempen derma darah kali ini merupakan salah satu usaha berterusan komuniti Hakka di Papar untuk menyumbang kepada keperluan kesihatan awam, sekaligus meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pendermaan darah sukarela.

