19 November 2025, Subang Jaya – Taylor’s College dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kota Kinabalu (SKPK KK) hari ini melancarkan Bilik Muzik Inklusif yang dinaik taraf, sebuah ruang pembelajaran mesra deria yang menyokong murid berkeperluan khas, khususnya murid masalah pendengaran dan pembelajaran, untuk merasai dan meneroka dunia muzik.
Transformasi ini direalisasikan melalui tajaan bernilai RM50,000 daripada Taylor’s College, disalurkan kepada Cikgu Stefanus Lucas selaku penerima RISE Educator Award 2025. Bilik tersebut kini dilengkapi dengan pelbagai instrumen tradisional dan moden, direka khusus bagi membantu murid menghayati muzik melalui rentak, getaran serta rangsangan visual.


Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran Mohamad Sufri bin Salim, Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, yang meraikan usaha kolaboratif ini atas komitmen dalam memperkasa pendidikan inklusif untuk semua murid. Beliau berkata, “Inisiatif ini mencerminkan semangat kolaborasi yang menggerakkan agenda pendidikan negara, di mana sektor awam dan swasta berganding bahu memastikan setiap murid, tanpa mengira keupayaan atau latar belakang, mendapat akses kepada peluang pembelajaran berkualiti. Kerjasama seperti ini bukan sahaja meningkatkan tahap inklusiviti, malah memperkukuh ekosistem yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan komuniti.”
Turut hadir ialah Yang Berbahagia Datuk Ceasar Mandela Malakun, Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah.
Josephine Tan, Pengarah Kampus Taylor’s College, berkata, “Setiap anak berhak untuk belajar, mengekspresi diri dan berkembang mengikut kemampuan mereka. Melalui penaiktarafan Bilik Muzik Inklusif ini, kami berharap dapat membantu Cikgu Stefanus menyediakan ruang yang memberi kegembiraan, keyakinan dan kreativiti kepada murid melalui muzik. Taylor’s College komited menyokong para pendidik berdedikasi seperti Stefanus dan terus memperjuangkan pembelajaran inklusif untuk semua. Ini merupakan sekolah kedua di Sabah yang berpeluang kami sokong, dan kami berbesar hati dapat menyumbang ke arah pembangunan pendidikan di negeri ini.”
Sejak menyertai SKPK KK pada tahun 2024, Stefanus telah memperjuangkan muzik sebagai bahasa universal bagi murid dengan perbezaan pendengaran dan pembelajaran. Bermula dengan aktiviti ringkas secara spontan, program ini kini berkembang menjadi sebuah kurikulum terancang melibatkan lebih 40 murid, berasaskan rentak, getaran dan pergerakan. Usaha beliau telah membolehkan murid membuat persembahan buat pertama kali serta menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa, membuktikan bahawa ekspresi dan kreativiti mampu berkembang melangkaui batas pendengaran.
Berkongsi pengalamannya, Stefanus Lucas berkata,
“Ramai menganggap muzik hanya berkaitan pendengaran, tetapi bagi murid saya, muzik adalah tentang rasa, visual dan ekspresi diri. Ketika saya mula bertugas, kami tidak mempunyai bilik muzik, maka saya mulakan dengan apa sahaja yang ada untuk memberi mereka cara baharu berkomunikasi dan membina keyakinan. Melihat perkembangan mereka, daripada meneroka rentak asas kepada tampil yakin di pentas, adalah pengalaman paling bermakna buat saya. Dengan sokongan Taylor’s College, kini kami mempunyai Bilik Muzik Inklusif pertama di Sabah, yang membolehkan kami memperluas bengkel, latihan dan bahan pembelajaran. Bilik ini bukan sekadar kemudahan; ia mengingatkan kita bahawa tumpuan harus diberi kepada keupayaan, bukan kekurangan.”



Guru Besar, Muhammad Hamka bin Eallie, turut merakamkan penghargaan dengan menyatakan, “Inisiatif ini bukan sekadar menaik taraf sebuah bilik darjah, tetapi membawa harapan dan peluang kepada murid-murid kami. Bagi sebahagian mereka, muzik telah menjadi cara baharu untuk berkomunikasi, membina keyakinan dan menzahirkan kegembiraan. Kami amat berterima kasih kepada Taylor’s College atas pengiktirafan terhadap potensi pendidik dan murid kami serta sokongan terhadap aspirasi kami untuk melihat setiap anak bersinar.”
Awal tahun ini, Taylor’s College telah menobatkan Stefanus Lucas sebagai penerima RISE Educator Award 2025. Beliau menerima RM5,000 atas pencapaiannya serta RM50,000 untuk sekolahnya. Selain itu, empat finalis lain turut menerima RM1,000 setiap seorang, bersama tambahan RM10,000 yang disalurkan kepada sekolah masing-masing bagi meningkatkan kemudahan dan persekitaran pembelajaran.