Lebih daripada 250 Ibu Berkumpul untuk Meraikan Jasa dan Peranan Ibu
17 Oktober 2025, Kuala Lumpur – Lebih daripada 250 orang ibu baru-baru ini berkumpul untuk Ibu Legends Summit pertama oleh Nicol David Organisation, salah satu perhimpunan terbesar di Malaysia yang meraikan dan mengangkat peranan ibu daripada semua lapisan masyarakat.
“Program Ibu Legends Summit ini direka untuk memberikan para ibu ruang, suara dan pengiktirafan yang mereka benar-benar layak terima,” kata Mariana de Reyes, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Nicol David Organisation (NDO). “Ibu adalah nadi setiap rumah yang berusaha tegas untuk menggerakkan segalanya untuk keluarga mereka. Dalam meraikan seseorang ibu yang juga merupakan seorang pemimpin, legenda, dan cahaya dalam komuniti mereka, kita menghormati peranan mereka yang tidak ternilai dalam membentuk sebuah keluarga — sebuah asasi masa depan masyarakat.”
Summit ini adalah lanjutan daripada program Ibu Legends NDO yang menyediakan sokongan menyeluruh kepada ibu-ibu daripada komuniti berpendapatan rendah melalui bengkel kesihatan mental, latihan literasi kewangan, aktiviti fizikal, sokongan rakan sebaya dan akses kepada pemeriksaan kesihatan percuma.
Sejak pelancarannya, program Ibu Legends telah membantu ramai wanita untuk membina semula keyakinan diri, mengukuhkan silaturahim dan mempererat hubungan keluarga dalam persekitaran yang positif.
Melalui program Little Legends NDO untuk kanak-kanak, program Ibu Legends NDO telah mencipta kesan berantai dalam keluarga — dengan 81% ibu melaporkan bahawa mereka kini bersenam bersama anak-anak mereka, dan lebih berdaya tahan dari segi emosi, lebih bersosial, dan lebih optimis terhadap masa depan.


“Ibu bapa membesarkan saya dalam persekitaran yang positif dan kami ingin membina ruang yang sama, di mana ibu-ibu dan anak-anak mereka dapat menemui dorongan positif melalui program-program yang disediakan oleh NDO,” jelas Datuk Nicol David.
“Di sinilah anak-anak kita benar-benar dapat merasakan bahawa mereka boleh mencapai apa sahaja yang mereka impikan, tanpa sebarang halangan – sebagai yang diberikan oleh ibu bapa saya kepada saya,” kata Datuk Nicol.
“Pengajaran terbesar yang saya ambil dari sesi itu ialah kita perlu menghargai diri sendiri sebelum berkhidmat untuk orang lain,” kata Syahadataini bt Mohd Sukari (NDO), 35 tahun, seorang Ibu Legends sejak 2024.
Sementara itu Jocelyn Tai, 43 tahun, turut berkongsi, “Ini adalah kali pertama saya menghadiri persidangan khas untuk para ibu. Sesi-sesi ini sangat bermakna dan memberi inspirasi, dengan petua keberanian, kepimpinan dan kasih sayang,” ujarnya yang telah menyertai program Ibu Legend sejak 2024 manakala anak lelakinya yang berumur 11 tahun telah menyertai program Little Legends sejak 2021.
Acara yang berlangsung pada 8 Oktober 2025 itu menampilkan barisan penceramah berinspirasi termasuk Siti Kamariah Ahmad Subki, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah; Datuk Nicol David, atlet Juara Dunia dan pejuang pemerkasaan belia dan wanita; Dr. Jezamine Lim, profesional perubatan dan usahawan; serta Thanuja Ananthan, pelakon, pejuang hak asasi manusia dan bekas Miss World Malaysia.
Persidangan ini turut menampilkan dua bengkel interaktif serta pameran seni khas bertemakan “Keibuan Melalui Mata Seorang Ibu”, yang mempamerkan 43 karya hasil ibu-ibu peserta. Tiga pemenang utama menerima baucar Watsons yang keseluruhannya bernilai RM1,000.
Peserta daripada pelbagai organisasi seperti Nicol David Organisation, Thrive Well, Yayasan Sime Darby, Teach For Malaysia, Women of Will, dan Women’s Aid Organisation (WAO) turut hadir bagi menyokong gerakan yang semakin berkembang ini untuk memperkasakan ibu ibu dan mengukuhkan keluarga melalui jaringan komuniti.
Ibu Legends Summit direalisasikan dengan sokongan Yayasan Hasanah, yayasan berasaskan impak di bawah Khazanah Nasional di bawah Kementerian Kewangan, bersama rakan kongsi Mercedes-Benz Malaysia, Cartier dan Watsons.