Meneruskan Legasi 70 Tahun, Inisiatif ‘Beyond 70’ YTL Cement Menyumbang ke Arah Masa Depan Bandar dan Komuniti yang Lestari
KUALA LUMPUR, MALAYSIA – Media OutReach Newswire – 14 November 2025 – Kumpulan YTL Cement komited untuk menyumbang sebanyak 70,000 pokok kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan penanaman di sekitar bandar raya Kuala Lumpur. Inisiatif ini menzahirkan komitmen berterusan YTL Cement terhadap usaha membina bandar yang lebih bersih, berdaya huni dan lestari, sejajar dengan aspirasinya, Helping Nations Build Greener.

Inisiatif tersebut telah diumumkan secara rasmi sempena Festival Taman KL 2025 yang berlangsung pada 21 Oktober 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, yang mana YTL Cement turut dilantik sebagai Rakan Strategik Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21KL). Majlis berkenaan telah disempurnakan dengan kehadiran Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr. Dr. Maimunah Mohd Sharif, bersama barisan pengurusan kanan Kumpulan YTL Cement.
Melalui kerjasama strategik ini, YTL Cement akan menyokong usaha kelestarian DBKL melalui dua inisiatif utama. Pertama, sumbangan 70,000 pokok yang menyokong matlamat bandar raya dalam tindakan iklim dan pemeliharaan biodiversiti. Kedua, melalui program Bintang Cemerlang, hasil kerjasama antara YTL Cement, DBKL dan Universiti UCSI, yang memberi peluang pembangunan holistik kepada pelajar daripada 22 buah sekolah di kawasan Sentul. Program ini merangkumi bimbingan akademik, latihan untuk para guru serta inisiatif pembelajaran kreatif yang direka untuk memupuk potensi jangka panjang dalam kalangan kanak-kanak daripada komuniti berkeperluan tinggi.
Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21KL) merupakan platform kolaboratif antara kerajaan tempatan, sektor swasta dan komuniti dalam mereka bentuk serta mengurus persekitaran bandar Kuala Lumpur secara bersama. Pelantikan YTL Cement sebagai Rakan Strategik mencerminkan keselarasan syarikat dengan United Nations Sustainable Development Goals (UNSDGs), khususnya Matlamat 11: Bandar dan Komuniti Lestari, Matlamat 13: Tindakan Terhadap Perubahan Iklim, Matlamat 15: Kehidupan di Darat, dan Matlamat 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat.
Inisiatif ini juga menggambarkan pelaksanaan model 4P – Public, Private, People, Partnership, yang menjadi tunjang kepada LA21KL dalam menggalakkan kolaborasi dan penglibatan komuniti ke arah perubahan positif yang berkekalan.
Sumbangan pokok dan pelaksanaan program Bintang Cemerlang merupakan sebahagian daripada BUILDS, iaitu unit Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan YTL Cement. Kedua-dua inisiatif ini memperkukuh komitmen berterusan Kumpulan dalam usaha membina negara – bukan sahaja melalui pembangunan infrastruktur negara, tetapi juga dengan memperkasa komuniti serta memelihara alam sekitar demi generasi masa hadapan.