CYBERJAYA, 2 Mac 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengambil tindakan tegas terhadap penularan semula sebuah video lama bertarikh 2024 yang memaparkan insiden penghinaan terhadap agama Islam melibatkan seorang warga Singapura, termasuk perbuatan memijak Al-Quran.
Menurut kenyataan media MCMC hari ini, pihaknya telah menerima pelbagai aduan daripada orang awam berhubung kandungan video tersebut yang dipercayai dimuat naik semula di platform media sosial, sehingga mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Berdasarkan siasatan awal, dipercayai individu yang terlibat merupakan seorang warga Singapura dan insiden tersebut juga dipercayai berlaku di Singapura,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, MCMC sedang bekerjasama rapat dengan pihak platform media sosial terlibat iaitu Threads, Facebook dan TikTok bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil, termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap kandungan berkenaan di Malaysia.
MCMC menegaskan bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan yang berkuat kuasa.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan tersebut.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Kenyataan media itu turut disertakan dengan lampiran tangkap layar kad pengenalan Republik Singapura milik individu yang terlibat (gambar disensor).
Kenyataan penuh MCMC boleh dirujuk di laman rasmi mereka.
