Kota Kinabalu, 18 Januari 2026* – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera menggugurkan rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan terhadap alasan penghakiman (grounds of judgment) Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025, berkaitan semakan kehakiman hak 40 peratus hasil Sabah.
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, berkata pendirian parti itu selari dengan perjuangan berprinsip untuk menyelesaikan isu hak Sabah dengan penuh penghormatan dan keikhlasan.
“Inilah inti Malaysia yang mesti terus diperjuangkan oleh UPKO. Inilah ‘soul searching’ – pencarian jiwa politik kita selama ini yang harus berani menoleh ke belakang sama ada Persekutuan yang ditubuhkan ini telah memberikan keadilan kepada perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1963,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan semula hak 40 peratus itu amat diperlukan bagi menyokong pembangunan Sabah, pembasmian kemiskinan, program ekonomi dan perindustrian, keusahawanan, kesejahteraan rakyat, biasiswa, pembangunan modal insan serta pelbagai inisiatif lain.
Ewon menyatakan demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata, mesyuarat kedua jawatankuasa peringkat pegawai kanan susulan keputusan Mahkamah Tinggi sepatutnya diadakan pada Disember lalu, tetapi ditangguhkan tanpa sebab yang jelas.
“Pendirian Sabah yang sepatutnya dibawa oleh delegasi pegawai kanan adalah agar Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan tersebut. Tetapi mesyuarat itu ditangguhkan. Saya tidak boleh menjawab bagi pihak Kerajaan Persekutuan mengapa ia ditangguhkan,” tegasnya.
Ewon, yang juga Ahli Parlimen Penampang, berkata beliau akan mengulangi pendirian UPKO ini semasa perbahasan di Parlimen tidak lama lagi.
Beliau turut mengakui kemajuan Sabah kini lebih baik berbanding sebelum 1963 serta menghargai penyelesaian 13 isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) setakat ini.
“Tetapi perkongsian hasil melalui pemberian semula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Negeri – yang terhenti sejak 1974 – masih merupakan tuntutan utama rakyat Sabah yang belum diselesaikan,” jelasnya.
Sehubungan itu, UPKO akan terus menyokong dan menyertai segala usaha rakyat Sabah, sama ada melalui saluran kerajaan, politik, perundangan, akademik, aktivisme mahupun media sosial, bagi menuntut penyelesaian menyeluruh hak 40 peratus ini.
“Keberadaan kami dalam Kerajaan Persekutuan sejak Disember 2022 sehingga saya meletak jawatan daripada Kabinet Persekutuan telah merekodkan pendirian-pendirian parti yang saya perjuangkan,” tambah Ewon.
