UM teruskan tradisi ‘scrabble’ antarabangsa melalui ASCI ke-18

19

Oleh Dr. Mohd Nur Ashraf Mohd Yusoff, Nor Arissa Yasmin Abdul Momen

Kejohanan ASTAR Scrabble Challenge International (ASCI) 2025 sekali lagi mengharumkan nama Universiti Malaya (UM) di persada antarabangsa apabila mahasiswa institusi ini berjaya menganjurkan kejohanan Scrabble bertaraf dunia edisi ke-18 dengan penuh komitmen dan profesionalisme.

Legenda Scrabble dunia, Nigel Richards turut berentap dalam Kategori Terbuka ASCI 2025

Kejohanan ini telah dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman (KK1) dengan kerjasama Persatuan Scrabble Malaysia (MSA) dan World English-Language Scrabble Players Association (WESPA).

Berlangsung selama dua hari bermula 31 Mei di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (KPPI), Universiti Malaya, kejohanan ini menghimpunkan seramai 228 peserta, termasuk 51 pemain antarabangsa dari tujuh buah negara termasuklah Indonesia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Filipina, Sweden dan New Zealand.

ASCI terus mengekalkan reputasinya sebagai antara platform sukan minda paling berprestij di rantau ini, malah kini diiktiraf sebagai salah satu kejohanan Scrabble Collins terbesar di dunia.

Ahli Jawatankuasa ASCI 2025 sedang giat untuk merekod markah peserta bagi setiap pusingan kejohanan.

Lebih membanggakan, keseluruhan pengurusan kejohanan dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa KK1 yang memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek termasuk logistik, komunikasi antarabangsa, penyelarasan teknikal dan pengurusan pertandingan. Kejayaan ini jelas mencerminkan tahap profesionalisme dan kompetensi mahasiswa UM dalam menggalas tanggungjawab berskala antarabangsa.

Menurut Penasihat Program ASCI 2025, Dr. Mohd Nur Ashraf Mohd Yusof, pencapaian ini menjadi bukti nyata bahawa mahasiswa mampu memikul amanah besar apabila diberi ruang dan kepercayaan. 

“Pelajar kami menunjukkan kepimpinan yang luar biasa. Mereka menguruskan kejohanan ini hampir sepenuhnya secara kendiri, dan hasilnya sangat membanggakan. Ini membuktikan bahawa mahasiswa mampu menyerlah sebagai penganjur bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Turut memeriahkan kejohanan ialah nama-nama besar dalam dunia Scrabble, termasuk legenda permainan ini, Nigel Richards (New Zealand), serta pemain ternama seperti Hubert Wee dan Toh Wei Bin (Singapura), dan Thacha Koowirat (Thailand). Malaysia juga diwakili oleh barisan pemain elit seperti William Kang, Kong Chock Heng, Tan Zi Kang, dan Ahmad Amirul Hakimi Mohamad. Kehadiran tokoh-tokoh penting seperti Manop Phiphatboonserm (Thailand), Douglas Tsang (Hong Kong), dan Presiden MSA, En. Mohamad Ali Ismail  turut menyemarakkan suasana pertandingan.

Bertemakan “Tile Your Destiny”, kejohanan tahun ini bukan sahaja menonjolkan elemen strategi dalam permainan Scrabble, malah menyampaikan mesej mendalam bahawa setiap langkah yang dibuat seumpama Menyusun huruf di atas papan permainan mampu membentuk arah tuju dan masa depan seseorang.

Menurut Penasihat Bersama ASCI 2025, Cik Nor Arissa Yasmin Abdul Mo’men, tema ini bersifat serampang dua mata dan amat relevan bukan sahaja kepada para pemain, tetapi juga kepada seluruh pasukan penganjur.

“Nilai yang terkandung dalam slogan ini seperti perancangan strategik, ketelitian, dan semangat juang jelas terpancar dalam setiap aspek penganjuran ASCI 2025. Saya amat berbangga melihat bagaimana mahasiswa menghayati dan menterjemahkannya melalui pengurusan kejohanan bertaraf antarabangsa ini dengan penuh dedikasi, profesionalisme, dan kepimpinan yang tersusun,” katanya.

Pengarah Projek ASCI 2025, Vanessa Ting Mei Yu, yang juga merupakan penerima Anugerah Ikon Kepimpinan ASTAR (Kategori Individu) sempena ASTAR Gala Night baru-baru ini, menyifatkan pengalaman ini sebagai medan latihan kepimpinan yang sangat bermakna dalam perjalanan kepimpinannya dan kepada semua yang terlibat.

Sebahagian peserta dari seluruh dunia bersama penasihat dan jawatankuasa penganjur merakam kenangan sempena Majlis Penutupan ASCI 2025.

“ASCI bukan sekadar kejohanan, tetapi merupakan platform sebenar untuk kami belajar mengurus masa, menangani tekanan, mengendalikan logistik dan berkomunikasi secara efektif dengan pemain antarabangsa. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih seluruh ahli jawatankuasa yang bekerja keras sejak beberapa bulan lalu,” ujarnya.

ASCI yang mula dianjurkan pada tahun 2006 pernah mencatatkan penyertaan tertinggi sebanyak 500 peserta pada tahun 2017. Meskipun dihentikan seketika pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19, kejohanan ini terus melakar kejayaan dan kekal sebagai antara pertandingan Scrabble paling berprestij di rantau ini.

Kejayaan penganjuran ASCI 2025 sekali lagi menyerlahkan bahawa mahasiswa UM bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga mampu menjadi pemimpin muda yang berdaya saing dan berwibawa di peringkat antarabangsa. Semoga kesinambungan penganjuran kejohanan ini terus memartabatkan sukan minda dan memperkasa potensi kepimpinan mahasiswa UM di pentas dunia.


Dr. Mohd Nur Ashraf Mohd Yusoff
Nor Arissa Yasmin Abdul Momen

Dr. Mohd Nur Ashraf Mohd Yusoff, penasihat ASCI, Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya

E Berita E Berita

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp