UM tangani masalah 3M di sekolah orang asli

Oleh Zuwati Hasim, Shanina Sharatol Ahmad Shah dan Simah Mamat

Dalam landskap pendidikan Malaysia masa kini, isu kemahiran literasi dalam kalangan murid, khususnya murid pemulihan dan murid Orang Asli, terus menjadi cabaran yang memerlukan perhatian serius dan pendekatan inovatif. Kemahiran literasi — membaca, menulis dan mengira (3M) — merupakan asas utama kepada kejayaan murid dalam pembelajaran dan pembangunan diri. Namun, pelbagai faktor sosioekonomi, perbezaan budaya, serta jurang peluang pendidikan menyebabkan segelintir murid terus ketinggalan dalam aspek ini. Menyedari hakikat ini, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan institusi pendidikan tinggi (IPT), termasuk program kolaboratif seperti EduRia 3M yang menjadi satu contoh terbaik sinergi antara universiti dan sekolah dalam menangani isu kemahiran literasi secara holistik dan berimpak tinggi.

Program EduRia 3M ialah sebuah inisiatif kerjasama pendidikan antara Universiti Malaya dan sekolah yang digerakkan oleh Mohd Ahyaulumuddin Abd Hamid, Guru Besar SK Sungai Sampo, Jempol, Negeri Sembilan sebagai salah satu program pemerkasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira dalam kalangan murid sekolah rendah. Ini dilaksanakan melalui Program Inovasi Sosial di bawah Geran Transformasi Global (GTRG). Matlamat utama adalah untuk memberikan pengalaman pembelajaran bermakna dan menyeronokkan kepada murid-murid pemulihan dan murid dari Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) di seluruh Negeri Sembilan.

Pensyarah dan sukarelawan UM yang menjayakan program bersama Dr Zuwati (dua dari kiri)

Kemahiran literasi sering dikaitkan dengan kejayaan akademik dan sosial seseorang murid. Namun, data semasa menunjukkan bahawa masih wujud kelompok murid, terutamanya dari komuniti Orang Asli dan murid pemulihan, yang bergelut dengan kemahiran asas 3M. Isu ini bukan sekadar melibatkan pencapaian akademik yang rendah, tetapi turut memberi kesan kepada kesejahteraan emosi dan sosial murid, seterusnya mempengaruhi motivasi mereka untuk terus bersekolah.

Dalam konteks ini, program EduRia 3M memainkan peranan penting sebagai satu pendekatan pemulihan pembelajaran yang berpaksikan murid dan berorientasikan pengalaman. Dengan menggunakan kaedah interaktif, menyeronokkan dan bermotivasi tinggi, program ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kemahiran literasi, malah mengubah tanggapan murid terhadap pembelajaran itu sendiri — daripada satu kewajipan kepada satu pengalaman yang dinantikan.

Program ini menetapkan lima objektif utama: meningkatkan motivasi murid pemulihan, memberi pengalaman pembelajaran kreatif, mewujudkan suasana pembelajaran inklusif, memfokuskan kepada pemerkasaan guru, serta membina nilai sosial dalam kalangan murid. Pelaksanaan EduRia 3M dilakukan secara sistematik dengan penyertaan 80 orang murid, dibahagikan kepada pasukan yang mengikuti aktiviti pembelajaran berstesen di dua stesen utama iaitu Membaca dan Menulis, serta Mengira.

Antara aspek paling signifikan dalam program ini ialah keterlibatan Universiti Malaya sebagai rakan kerjasama dalam perancangan, pelaksanaan dan penilaian impak program. Melalui penyertaan pelajar dan pensyarah dalam aktiviti seperti pembangunan modul dan pengumpulan data impak, universiti dapat menyumbang secara langsung dalam memperkukuh pendekatan literasi berasaskan komuniti.

Antara aktiviti literasi yang dilaksanakan

Inovasi sosial yang dipacu oleh pasukan akademik ini bukan hanya tertumpu kepada penilaian tahap literasi dan penghasilan modul baharu, tetapi turut merangkumi pembangunan ekosistem sokongan pembelajaran di peringkat sekolah dan komuniti. Kajian tindakan yang dijalankan selari dengan pelaksanaan program turut membolehkan universiti menilai impak sebenar inisiatif ini dan menyediakan cadangan penambahbaikan secara berasaskan bukti.

Kejayaan EduRia 3M menjadi bukti bahawa inovasi pendidikan tidak semestinya datang daripada dasar besar semata-mata, tetapi boleh bermula di akar umbi melalui kolaborasi ikhlas antara sekolah, pejabat pendidikan dan universiti. Guru perlu diberikan autonomi untuk merancang pembelajaran yang sesuai dengan konteks masing-masing, dan pendekatan ‘one-size fits all’ tidak lagi relevan. Pendidikan yang benar-benar inklusif hanya boleh dicapai apabila setiap murid, tidak kira latar belakang, diberi peluang dan ruang untuk belajar dengan cara yang sesuai untuk mereka.


Prof Madya Dr Zuwati Hasim, Dr Shanina Sharatol Ahmad Shah dan Dr Simah Mamat ialah penyelidik di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp