Universiti Malaya (UM) menerusi Universiti Malaya Green Community (UMGC) di bawah naungan Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) terus komited memperkasa pendidikan komuniti dan kelestarian alam sekitar melalui pelaksanaan pelbagai projek kesukarelawanan yang berperanan memupuk kesedaran serta tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam. Sebagai sebuah inisiatif di bawah Kluster Kelestarian Alam Sekitar, UMGC aktif menggerakkan projek berteraskan kelestarian yang merangkumi kempen hijau, gotong-royong lestari, penanaman pokok, dan program pendidikan alam sekitar bagi memastikan ekosistem terus terpelihara.

Komitmen ini dizahirkan melalui program UMGC x FTS Conservation Project: Urban Forest Initiative yang berlangsung selama dua hari pada 3 hingga 4 Januari 2026 di UM Zero Waste Centre (UM ZWC). Program anjuran UMGC dengan kerjasama Free Tree Society Kuala Lumpur (FTS), UM Sustainable Development Centre (UMSDC), dan American Association of Petroleum Geologists UM Student Chapter (AAPG) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘Bangsar Ecological Connector: A Community Driven Rewilding Initiatives’.
Projek ini dirangka khusus oleh FTS untuk menghubungkan kawasan hutan bandar Denai Pulai dengan zon hijau Rimba Ilmu bagi mewujudkan koridor biodiversiti yang mampan. Seramai 64 sukarelawan yang terdiri daripada 50 mahasiswa dan 11 staf Universiti Malaya telah menunjukkan semangat luar biasa dengan berjaya menanam sebanyak 1,100 anak pokok spesies tempatan di bawah bimbingan 3 pegawai FTS.


Usaha ini dilaksanakan secara berperingkat dengan 700 anak pokok ditanam pada hari pertama, manakala baki 400 anak pokok menyusul pada hari kedua. Antara anak pokok spesies tempatan yang ditanam ialah belimbing (Averrhoa carambola L.), rambutan (Nephelium lappaceum) dan pegaga (Centella asiatica).
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Muhammad Aimar Adam bin Roshidi, Koordinator Seksyen Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UM. Barisan pengurusan tertinggi daripada Pusat Pembangunan Lestari (UMSDC), Jabatan Harta Benda turut hadir memeriahkan majlis bersama wakil daripada Free Tree Society (FTS) dan American Association of Petroleum Geologist (AAPG), UM Student Chapter.


“Program ini bukan sahaja bertujuan memelihara kehijauan, malah menjadi wadah pendidikan yang membentuk jati diri dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa. Tanggungjawab menjaga alam sekitar bukan sahaja terhad kepada satu program, tetapi merupakan amanah berterusan yang perlu dipikul oleh setiap individu,” ujar beliau dalam ucapan perasmiannya.
Turut senada, Pengarah UMGC, Muhammad Nabil bin Mohd Sahidan, menyifatkan para sukarelawan yang terlibat sebagai ‘Wira Alam’ yang telah melabur untuk masa depan yang lebih nyaman. “Masa terbaik untuk menanam pokok adalah 20 tahun yang lalu. Masa kedua terbaik adalah sekarang. Setiap pohon yang kita tanam hari ini adalah pelaburan untuk udara yang lebih bersih bagi generasi akan datang. Saya berharap semangat rewilding ini tidak terhenti di sini, malah dibawa pulang ke rumah dan komuniti masing-masing,” katanya.
Program ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada rakan strategik dan sesi fotografi bersama para peserta. Kejayaan Urban Forest Initiative ini bukan sahaja menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 13 dan SDG 15), malah menjadi simbol kerjasama erat antara universiti, badan bukan kerajaan dan komuniti dalam memastikan warisan alam terus terpelihara untuk generasi akan datang.
