UM kreatif dekatkan ilmu kesihatan dengan penghuni PPR

21

Oleh Norhidayu Sahimin, Nabila Abu Bakar

Dalam usaha mengurangkan jurang kesihatan dalam komuniti miskin bandar, Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Universiti Malaya, dengan kerjasama Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia (MSPTM), telah menganjurkan program khidmat Masyarakat HeLP-PPR, di dua lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang. Program tersebut mengambil tempat di PPR Kg. Baru HICOM, Shah Alam pada 18 Mei 2025, dan PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya pada 25 Mei 2025. Dibiayai oleh Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, inisiatif ini bertujuan untuk mendedahkan ilmu kesihatan kepada komuniti rentan melalui pendekatan pembelajaran yang praktikal, interaktif, dan mudah difahami.

Peserta melihat sendiri tahap kebersihan tangan di bawah cahaya UV.
Kaedah basuhan tangan yang betul turut diajar kepada peserta.

Program setengah hari ini menggunakan pendekatan berasaskan reruai dan menukarkan konsep ceramah kesihatan tradisional kepada pengalaman komuniti yang lebih interaktif. Setiap reruai memberikan tumpuan kepada isu kesihatan awam yang berkaitan dengan penduduk PPR, termasuk COVID-10 dan influenza, demam denggi, penyakit bawaan vektor, serta penyakit bawaan makanan dan air seperti leptospirosis (penyakit kencing tikus).

Program tersebut menggabungkan elemen keseronokan dan pengetahuan, terutamanya melalui demonstrasi mencuci tangan dengan betul yang sangat relevan kepada kehidupan seharian penduduk PPR. Dalam komuniti bandar yang padat, aspek ini sangat penting kerana kebersihan tangan yang tidak sempurna membolehkan penyebaran penyakit berjangkit dengan mudah. Program ini juga memberi pendedahan tentang tanda-tanda awal penyakit dan kepentingan bertindak segera, sekaligus memperkasakan penduduk dengan pengetahuan untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Sukarelawan mengajar kaedah mencuci tangan yang betul kepada kanak-kanak.

Keunikan program HeLP-PPR ini terletak pada pendekatannya yang santai dan menyeronokkan. Tidak terikat dengan gaya pendidikan kesihatan formal yang sering dilihat membosankan, program ini dijalankan dalam suasana mesra dengan fasilitator yang mudah didekati, permainan dan kuiz yang interaktif, serta pembelajaran secara praktikal. Ini menggalakkan penduduk dari pelbagai peringkat umur untuk turut serta dengan kehadiran hampir 160 penduduk termasuk kanak-kanak, dewasa, dan warga emas. Malahan, maklum balas daripada peserta jelas mencerminkan pengalaman baik mereka dan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana program ia berkonsepkan keperluan pendidikan kesihatan yang berterusan dan mesra komuniti khususnya melibatkan komuniti Projek Perumahan Rakyat.

Selain meningkatkan kesedaran, program ini turut menekankan hubungan rapat antara kesihatan dan kemiskinan. Sebagai contoh, masalah kesihatan boleh membawa kepada ketidakstabilan ekonomi seperti kelewatan mendapatkan rawatan akan menyebabkan penyakit berpanjangan, kehilangan pekerjaan dan beban kewangan. 

Sebaliknya, sekiranya simptom dapat dikesan dari awal dan diberikan rawatan segera serta amalan pencegahan yang betul, individu dapat mengelakkan penyakit serius terutama penyakit yang mudah berjangkit. Dalam kesibukan hidup seharian, khususnya bagi penduduk yang menetap di dalam komuniti Projek Perumahan Rakyat, program ini diharapkan dalam menjadikan mereka lebih cakna dan peka terhadap kesihatan diri sendiri bagi memastikan tahap kesihatan yang optimum.

Sukarelawan UM yang terlibat dalam penganjuran program.

Bagi pihak TIDREC, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), MSPTM, fasilitator, sukarelawan, serta rakan kerjasama yang telah memainkan peranan penting dalam melangsungkan program ini. Sumbangan mereka membuktikan impak inisiatif berasaskan komuniti dapat merapatkan jurang ilmu kesihatan dan memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat.

Dengan kejayaan program HeLP-PPR ini, TIDREC berharap untuk memperluaskan model ini ke lebih banyak komuniti PPR, bukan sahaja di sekitar Lembah Klang, bahkan ke seluruh Malaysia. Kesihatan awam bertitik tolak daripada kesihatan komuniti. Dengan kefahaman yang kukuh, masyarakat bukan sahaja mampu mencegah penyakit, tetapi juga memastikan masa depan yang lebih terjamin.


Dr. Norhidayu Sahimin ialah Pensyarah Kanan di TIDREC, dan Nabila Abu Bakar ialah penyelidik kedoktoran di Universiti Malaya.

Pendapat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp