Pada 13 Mac 2026, bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Jabatan Pergigian Restoratif Fakulti Pergigian Universiti Malaya telah menganjurkan program Healing Hearts dengan mengagihkan pek makanan ruji seperti minyak masak, beras, bihun, tepung gandum, gula, garam, sardin, susu pekat, teh dan mi segera kepada 70 keluarga asnaf termasuk anak-anak yatim di Kampung Dato’ Mufti Suib, Ampang, Selangor.
Program ini merupakan salah satu usaha kebajikan bagi berkongsi rezeki serta meringankan beban golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan. Melalui sumbangan yang diberikan, diharapkan keluarga-keluarga asnaf ini dapat menyambut kedatangan Syawal dengan lebih selesa dan penuh kegembiraan.
Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada para penyumbang yang telah memberikan sumbangan dengan penuh keprihatinan dan keikhlasan. Bantuan yang disalurkan bukan sahaja memberi manfaat dari segi keperluan harian, malah turut membawa sinar harapan kepada para penerima.


Program ini juga melibatkan penyertaan pensyarah pergigian daripada Jabatan Pergigian Restoratif serta staf sokongan yang bersama-sama turun padang bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima. Sumbangan telah disampaikan secara langsung melalui sesi ziarah ke rumah dengan kerjasama ahli jawatankuasa Surau Al-Hakimin, Kampung Dato’ Mufti Suib (Kg. Tengah), Ampang, Selangor.
Pihak jabatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang serta menyokong pelaksanaan program ini. Setiap sumbangan yang diberikan amat bermakna dalam membantu mereka yang memerlukan.
Semoga segala kebaikan dan kemurahan hati para penyumbang diberkati serta dibalas dengan ganjaran yang berlipat ganda. Program ini mencerminkan semangat Ramadan yang menekankan nilai kasih sayang, keprihatinan dan perkongsian rezeki dalam kalangan masyarakat. Pihak jabatan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan lebih ramai sukarelawan demi memperluaskan lagi manfaat kepada komuniti.
