Seramai 50 orang pelajar tingkatan 3 dan 4 daripada Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (KUSESS) dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam (INTESABER) bersama 25 orang pelajar Program Ekologi dan Biodiversiti Universiti Malaya telah menyertai program Sekolah Sahabat perikanan: Kembara Ekologi Biru yang berlangsung selama dua hari pada 3 hingga 4 September di Kem Laman Cikgu 21 dan Jeti Bagan Sungai Kajang, Tanjung Karang.


Program anjuran Persatuan Ekologi Biodiversiti Universiti Malaya (EcoBio UM) dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Selangor ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Sekolah Sahabat Perikanan. Tujuan utama penganjuran adalah untuk meningkatkan kesedaran peserta tentang kepentingan pemuliharaan hidupan laut, mendidik pelajar dan komuniti mengenai peranan mereka dalam usaha konservasi marin, serta memupuk kerjasama erat antara generasi muda dan masyarakat setempat demi kelestarian biodiversiti negara.
Hari pertama program menampilkan siri ceramah daripada pensyarah Universiti Malaya, Dr. Muhammad Rasul bin Abdullah Halim dari Universiti Malaya berkongsi tentang kepelbagaian ikan air tawar di Semenanjung Malaysia, diikuti Assoc. Prof. Dr. Amy Then Yee Hui yang membincangkan peranan Ikan Yu dan Pari dalam ekosistem marin. Sesi diteruskan oleh En. Muhammad Hafiz bin Mohd Amin dari Jabatan Perikanan, yang memperkenalkan fungsi jabatan dalam usaha melindungi sumber perikanan negara. Aktiviti hari pertama diakhiri dengan pertandingan innovative pitching, yang memberi peluang kepada pelajar untuk membentangkan idea kreatif berkaitan pemuliharaan alam sekitar.


Hari kedua pula lebih berfokus kepada aktiviti lapangan bersama komuniti di Jeti Bagan Sungai Kajang. Peserta menyertai aktiviti melukis corak tanglung, belajar cara menjahit pukat, sesi pembelajaran mengenai ikan masin bersama wakil dari Jabatan Perikanan dan penduduk setempat, taklimat mengenai bot di tepi jeti, serta sesi pembersihan ikan. Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman sebenar kehidupan masyarakat nelayan dan menyedari cabaran dalam mengekalkan sumber laut yang berterusan.
Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Selangor, YBrs. Puan Noraisyah binti Abu Bakar, dengan kehadiran pensyarah Universiti Malaya, guru pengiring, komuniti nelayan tempatan serta pihak sekolah terlibat. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa ekosistem laut kini berdepan pelbagai ancaman termasuk pencemaran plastik, penangkapan berlebihan dan kesan perubahan iklim, yang jika tidak ditangani segera bakal menjejaskan sumber makanan serta biodiversiti negara. “Generasi muda adalah pemegang amanah masa depan. Penyertaan pelajar sekolah dalam program ini amat penting kerana merekalah yang akan meneruskan perjuangan menjaga kelestarian laut dan biodiversiti marin. Selepas program ini, saya berharap budaya hijau seperti mengurangkan penggunaan plastik, mengamalkan kitar semula dan mempraktikkan prinsip ‘bawa balik sampah sendiri’ dapat dikukuhkan di peringkat sekolah dan komuniti,” katanya.


Sementara itu, Penasihat Persatuan Ekologi Biodiversiti Universiti Malaya (EcoBio UM), Ts. Dr. Noorhidayah Mamat, menekankan kepentingan mendidik generasi muda agar lebih peka terhadap cabaran alam sekitar. “Pelajar sekolah adalah ejen perubahan yang berpotensi tinggi. Dengan pendedahan awal sebegini, mereka bukan sahaja memperoleh ilmu, malah mampu membina kesedaran dalam komuniti masing-masing,” ujarnya.
Kembara Ekologi Biru turut menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 14 (Kehidupan di Dalam Air) dan SDG 13 (Tindakan Iklim), dengan menekankan tindakan nyata melalui pendidikan, aktiviti yang melibatkan komuniti setempat. Dengan semangat kerjasama yang ditunjukkan, program ini menjadi simbol usaha kolektif antara universiti, agensi kerajaan, sekolah dan masyarakat bagi memastikan sumber laut terus terpelihara untuk generasi akan datang.