Kesihatan pergigian kanak-kanak bukan sekadar isu gigi berlubang atau gusi berdarah, malah boleh menjejaskan selera makan, tidur, keyakinan diri dan tumpuan dalam pembelajaran. Di kawasan luar bandar seperti Sungai Lui di Negeri Sembilan, usaha membentuk tabiat penjagaan gigi yang konsisten untuk kanak-kanak memerlukan sokongan bukan sahaja perkhidmatan kesihatan pergigian, tetapi juga para guru dan ibu bapa.
Projek SPARKLE kini dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Lui, Jempol dengan objektif membudayakan amalan penjagaan kesihatan pergigian secara konsisten dalam kalangan murid melalui penglibatan aktif guru dan ibu bapa. Program ini menyasarkan murid sekolah bersama ibu bapa mereka yang kebanyakan menetap di kawasan FELDA dan Kampung Orang Asli Sungai Lui, serta melibatkan semua guru sebagai pemacu utama di sekolah.

Yang membezakan SPARKLE dengan program pergigan sedia ada ialah pendekatan reka bentuk bersama. Sebelum program dimulakan, perancangan dibuat dengan mengambil kira pandangan, jangkaan dan keperluan murid, guru serta ibu bapa. Maklum balas komuniti membantu memastikan aktiviti yang dirancang benar-benar sesuai dengan situasi sekolah luar bandar dan rutin harian keluarga di Sungai Lui. Pendekatan ini memastikan program SPARKLE bukan sekadar dilaksanakan untuk komuniti, tetapi dibangunkan bersama komuniti.
Projek ini merupakan kolaborasi antara Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Jempol. Melalui SPARKLE, murid telah terlibat dalam pemeriksaan kesihatan pergigian, sapuan varnis berfluorida, pendidikan kesihatan pergigian dalam kumpulan kecil serta latihan teknik memberus gigi yang betul. Aktiviti ini bertujuan membina kefahaman asas dan membentuk rutin penjagaan diri dalam kalangan murid.
Komponen penting SPARKLE ialah pemerkasaan guru. Guru-guru yang telah mengikuti latihan dalam perkhidmatan kini menyelia aktiviti memberus gigi selepas waktu rehat setiap hari sebagai rutin tetap sekolah. Penglibatan aktif kesemua 17 orang guru menunjukkan komitmen sekolah dalam memastikan mesej kesihatan pergigian diperkukuh secara konsisten dalam persekitaran pembelajaran.


Menurut Guru Besar SK Sungai Lui, Pn Nor Mazitah binti Mahussin, penglibatan menyeluruh warga sekolah menjadi kekuatan utama program ini. “Program ini dilihat sangat praktikal dan bertepatan dengan rutin harian sekolah. Pelaksanaannya mudah disesuaikan tanpa menjejaskan jadual pembelajaran.
Lebih membanggakan, murid-murid menunjukkan keterujaan serta peningkatan kesedaran dalam menjaga kebersihan gigi. Guru-guru pula komited dan konsisten dalam menyampaikan mesej kesihatan agar amalan ini dapat diterapkan secara berterusan dalam kehidupan seharian murid,” katanya.
Ibu bapa turut dilibatkan melalui ceramah kesihatan pergigian pada permulaan program. Selain itu, infografik dan nota suara ringkas dihantar melalui aplikasi WhatsApp bagi membantu ibu bapa mengukuhkan amalan penjagaan gigi di rumah. Usaha ini bertujuan memastikan mesej yang disampaikan di sekolah dapat diteruskan secara konsisten dalam persekitaran keluarga.
Sebagai kesinambungan kepada usaha ini, SPARKLE akan diperluaskan dengan pelaksanaan projek pemakanan sihat yang bersifat interaktif. Komponen ini dirancang untuk melengkapkan pendidikan kesihatan pergigian dengan menggalakkan murid membuat pilihan makanan yang lebih baik dalam kehidupan harian mereka.
Walaupun program ini masih di peringkat awal, penglibatan aktif murid, guru dan ibu bapa menunjukkan potensi untuk membina budaya kesihatan pergigian yang lebih kukuh dalam komuniti SK Sungai Lui. Apabila usaha dilakukan secara bersama dan konsisten, perubahan positif lebih mudah dicapai dan dikekalkan.
