KUALA LANGAT, 21 Februari 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mewakili Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail telah menyertai Majlis Singgah Sahur bersama Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat awal pagi ini.
Kehadiran kepimpinan tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sekali gus menyuntik semangat serta dedikasi lebih tinggi kepada warga pasukan yang sedang bertugas sepanjang bulan Ramadan. Program ini bertujuan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara meskipun dalam tempoh ibadah puasa.
Program bermula di IPD Putrajaya di mana Datuk Seri Saifuddin Nasution disambut oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil Hj. Marsus bersama timbalannya, DCP Dato’ Mohd Azani Omar serta Ketua Polis Daerah (KPD) Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed.
Rombongan kemudian melawat beberapa lokasi agensi di bawah KDN, termasuk menyantuni petugas sekatan jalan raya di Olak Lempit, Banting sebagai tanda sokongan kepada barisan hadapan yang komited menjaga keselamatan masyarakat.
Majlis diteruskan di IPD Kuala Langat dengan sesi ramah mesra dan penyampaian pek juadah sahur kepada petugas barisan hadapan. Program diakhiri dengan solat Subuh berjemaah di Surau IPD Kuala Langat.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Datuk Zulkifli Abidin, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar, Timbalan KP Selangor, DCP Mohd Zaini Abu Hassan, KPD Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi serta para pegawai kanan agensi-agensi di bawah KDN.
