PUTRAJAYA, 24 Feb (Life News) – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Kementerian Luar Negeri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Wisma Putra, di sini malam tadi.
Beliau mewakili Ketua Polis Negara dalam majlis yang turut menyaksikan pelancaran Pelan Strategik Kementerian Luar Negeri 2026–2030.
Pelan strategik tersebut disempurnakan Perdana Menteri dengan diiringi Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad Hj. Hasan.
Pelan berkenaan memfokuskan usaha memperkukuh diplomasi dua hala dan pelbagai hala Malaysia, mengangkat peranan proaktif negara dalam ASEAN, memelihara kedaulatan maritim, memperkasa perkhidmatan awam dan institusi, serta memperteguh kewajipan Malaysia di bawah Konvensyen Senjata Kimia.
Seusai pelancaran, majlis diteruskan dengan berbuka puasa dan solat fardu Maghrib secara berjemaah.
DIG Tan Sri Ayob Khan berkesempatan beramah mesra bersama barisan kepimpinan kerajaan dan tetamu kehormat dalam suasana penuh semangat ukhuwah serta penghayatan nilai murni bulan Ramadan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Lukanisman Awang Sauni, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Dato’ Sri Amran Mohamad Zin dan para pegawai kanan diplomat asing.
Majlis ini memperkukuhkan semangat MADANI dan ukhuwah dalam kalangan kepimpinan negara sempena Ramadan.
