KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay semalam menghadiri majlis iftar bersama Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Osamah Dakhel R. Al-Ahmadi di JW Marriott Hotel Kuala Lumpur.
Majlis berbuka puasa anjuran Kedutaan Arab Saudi di Malaysia itu turut diserikan dengan kehadiran Tengku Laksamana Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.
Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM), majlis tersebut menjadi wadah penting bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi, selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai kebersamaan, ihsan serta ukhuwah sejagat.
“Kehadiran Tan Sri Ayob Khan mewakili PDRM mencerminkan komitmen berterusan pasukan polis dalam menjalin hubungan diplomatik yang erat dengan Arab Saudi, khususnya melalui kerjasama strategik dalam bidang kepolisan yang menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.
Majlis yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh muhibah itu turut dihadiri oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Azhan Hj. Md Othman; Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Hj. Muhamad Norazlan Aris TUDM; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Kementerian Luar Negeri, Dato’ Ahmad Rozian Abd. Ghani.
