‘The Destination’ Sorot Wajah Baharu Arab Saudi Menuju Masa Depan  Global 

Riyadh, 20 Julai 2025 – Dokumentari baharu bertajuk ‘The Destination’ terbitan Inisiatif  Konoz di bawah Kementerian Media Arab Saudi telah dilancarkan secara rasmi, memaparkan  perjalanan transformasi besar negara itu di bawah program Wawasan 2030 yang  merangkumi bidang politik, ekonomi, sukan dan budaya. 

Filem ini bukan sekadar catatan pencapaian; ia adalah naratif visual tentang bagaimana Arab  Saudi —yang sebelum ini sinonim dengan imej konservatif —kini muncul sebagai destinasi  global moden yang penuh daya saing. Dengan paparan projek mega, pembangunan bakat  tempatan, dan ledakan inovasi budaya, filem ini menghantar mesej jelas: Dunia Arab sedang  bergerak, dan Arab Saudi berada di barisan hadapan. 

Disiarkan melalui platform Shahid, STC TV, saluran TV Saudi serta laman rasmi Kementerian  Media dan Konoz, dokumentari ini menampilkan rakaman visual mengagumkan dari seluruh  pelosok Arab Saudi — dari padang pasir ke bandar pintar — menyampaikan naratif  kebangkitan negara yang kini dilihat sebagai penanda aras baharu dalam dunia Islam moden.

Antara tokoh penting yang tampil dalam dokumentari termasuk: Putera Turki Al-Faisal,  Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Kajian Islam Raja Faisal, Putera Abdulaziz bin Turki Al Saud,  Menteri Sukan Arab Saudi, Mazen Al-Sudairi, Penasihat Majlis Menteri, Jerry Inzerillo, Ketua  Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Diriyah and Dr. Firas Khalil, Ketua Jabatan  Pembedahan Jantung di Hospital Pakar Raja Faisal. 

Dengan naratif yang menghubungkan masa lalu, kini dan masa depan, filem ini turut  menyoroti kisah-kisah manusia biasa —rakyat Saudi —yang menjadi tonggak transformasi  melalui pendidikan, kreativiti dan teknologi. Setiap wilayah diwakili, membuktikan bahawa  perubahan ini bersifat menyeluruh dan inklusif. 

Produksi ‘The Destination’ diumumkan ketika Forum ImpaQ pada Disember 2024, bersama  barisan filem Konoz lain yang melibatkan sembilan studio nasional, 80 syarikat produksi dan  lebih 2,600 bakat tempatan. Ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan Saudi dalam membina industri kandungan tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. 

Inisiatif Konoz adalah sebahagian daripada Program Pembangunan Keupayaan Insan  (HCDP) di bawah Wawasan 2030 yang bertujuan merakam kekayaan budaya Arab Saudi,  warisan sejarah dan pencapaian rakyatnya melalui dokumentari dan filem pendek. Beberapa  karya terdahulu seperti Hard Phase, Station 7, Seagull of Arabia, dan What Saudis Eat telah  memenangi anugerah antarabangsa dan ditayangkan di festival-festival filem utama dunia. 

Pandangan Bersilang antara Teluk dan Asia Tenggara 

Bagi Malaysia, pengalaman dokumentari “The Destination” membangkitkan persoalan asas  tentang bagaimana membina naratif visual kebangsaan yang inklusif — satu naratif yang  mampu mewakili nilai dan perubahan besar dalam masyarakat, sambil berbicara kepada  dunia dalam bahasanya sendiri. Aspirasi Arab Saudi dalam membangunkan kandungan  tempatan mencerminkan visi strategik yang selari dengan usaha Malaysia untuk membina  industri media yang mampan dan merentas sempadan.

Kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi dalam konteks ini dilihat berpotensi untuk  diperluas, khususnya dalam bidang penerbitan bersama, latihan media, serta perkongsian  kepakaran dalam menyampaikan kisah transformasi sosial. Seperti mana Arab Saudi  membawa mesej budaya baharu kepada dunia, Malaysia juga memiliki alat naratif pelbagai  budaya yang mampu berdialog secara setara —bukan tunduk, tetapi berinteraksi.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp