TEGAS & BERINTEGRITI: Wanita Warga China Ditahan Serang Pegawai Imigresen di KLIA

17

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2025 – Seorang wanita warga China telah ditahan oleh pihak berkuasa selepas bertindak biadab dengan menyerang seorang pegawai imigresen di kaunter pelepasan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat malam.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 7.40 malam itu menyaksikan suspek memaki hamun, menarik tudung, serta menolak kepala pegawai tersebut ke arah tiang. Akibat serangan tersebut, pegawai imigresen terbabit mengalami kecederaan di mata kiri, sakit kepala, dan kesakitan badan, sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Cyberjaya.

Menurut kenyataan Agensi Keselamatan Perbatasan (AKPS), suspek kini berada dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sedang disiasat di bawah Seksyen 186, 332, dan 353 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menghalang tugas penjawat awam, menyebabkan kecederaan, dan menggunakan kekerasan jenayah.

AKPS menegaskan bahawa sebarang bentuk kekerasan, penghinaan, atau ancaman terhadap pegawai yang sedang menjalankan tugas tidak akan diberi sebarang kompromi. “Kami komited untuk bertindak tegas dan berintegriti selaras dengan semangat Malaysia MADANI demi menjaga keselamatan negara dan martabat penjawat awam,” kata kenyataan itu.

Siasatan lanjut masih dijalankan, dan orang ramai diingatkan supaya menghormati pegawai awam yang bertugas demi kelancaran dan keselamatan bersama.

E Arkian

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp