Kuala Lumpur, 27 Feb 2026 – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (“Takaful Malaysia” atau “Kumpulan”), perintis dan peneraju industri takaful di Malaysia, hari ini mengumumkan prestasi kewangan yang kekal berdaya tahan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Kumpulan merekodkan hasil takaful sebanyak RM3.78 bilion, meningkat RM201.7 juta daripada RM3.57 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Keuntungan sebelum zakat dan cukai mencatat paras tertinggi sebanyak RM616 juta, berbanding RM574.9 juta pada tahun 2024. Prestasi ini didorong terutamanya oleh pelepasan margin perkhidmatan kontraktual yang lebih tinggi serta peningkatan pendapatan pelaburan bersih.

Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, berkata:
“Prestasi kami bagi tahun 2025 memberikan gambaran jelas tentang strategi yang mantap serta kedudukan kami sebagai peneraju pasaran. Walaupun landskap ekonomi mencabar, kami secara konsisten melangkaui penanda aras industri melalui pelaksanaan yang disiplin serta portfolio yang seimbang. Pertumbuhan perniagaan ini bukan sekadar tentang angka semata-mata; ia merupakan bukti usaha berterusan kami dalam mencapai kecemerlangan operasi, di samping komitmen kami untuk memberikan nilai mampan kepada para pihak berkepentingan.”
PERTUMBUHAN MAMPAN MERENTASI PORTFOLIO TERAS
Tahun kewangan 2025 menyerlahkan kekuatan perniagaan Takaful Malaysia yang pelbagai. Pemacu prestasi utama termasuk:
- Pencapaian Pelbagai Segmen: Segmen bankatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja, dan perniagaan takaful am merupakan penyumbang utama kepada prestasi Kumpulan.
- Permintaan Pasaran: Kesedaran awam yang meningkat terhadap perlindungan kewangan serta lonjakan permintaan terhadap penyelesaian patuh Syariah.
- Integrasi Digital: Pendekatan proaktif Kumpulan yang mengutamakan digital telah meningkatkan operasi dan aksesibiliti pelanggan.
Melalui pelaksanaan strategi yang efektif, Kumpulan berupaya menangani cabaran pasaran sambil mengukuhkan kedudukan bagi penciptaan nilai jangka panjang, memastikan ia terus kekal di barisan hadapan dalam industri.
TINJAUAN STRATEGIK
Melangkah ke hadapan, Takaful Malaysia memperkukuh komitmennya dalam memacu inovasi berorientasikan pelanggan, keupayaan digital, serta integrasi aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Platform dan jenama digital Kumpulan, Kaotim, terus menjadi pemangkin pertumbuhan kami. Dengan memperluaskan penawaran perlindungan dalam talian, Kaotim telah berjaya menembusi pasaran runcit, sekali gus melengkapkan kedudukan bankatakaful Kumpulan yang sedia kukuh.
“Fokus kami bagi 2026 adalah jelas: keupayaan berdaya tahan dan pengembangan pasaran strategik melangkaui bankatakaful,” tambah Nor Azman. “Kami memacu usaha bagi mempelbagaikan saluran pengedaran serta pertumbuhan perniagaan. Dengan memanfaatkan kekuatan teras kami serta momentum platform digital dan strategi pengembangan pasaran, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi cabaran masa hadapan dan terus menjana nilai mampan jangka panjang untuk pelanggan, rakan niaga, dan pemegang saham kami.”
