Syarikat Pengangkutan Sabah, Sarawak Digesa Daftar SKPS Segera Bagi Subsidi Petrol RON95

17

PENAMPANG, 21 September 2025 – Syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di Sabah serta Sarawak digesa mendaftar segera melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) untuk mendapat manfaat subsidi petrol RON95, sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi yang akan diumumkan Kementerian Kewangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pendaftaran boleh dibuat di http://mysubsidi.kpdn.gov.my, dengan permohonan lengkap diluluskan serta-merta. Selepas itu, syarikat boleh memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan.

Pendaftaran SKPS dibuka pada 15 September 2025, selepas diumumkan pada 13 September, dan disepadukan dengan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Walau bagaimanapun, dalam tempoh enam hari sehingga 20 September, hanya 89 daripada anggaran 2,677 kenderaan layak di Sabah didaftarkan, manakala di Sarawak hanya enam daripada 1,970 kenderaan.

“Pendaftaran ini amat rendah dan perlu ditingkatkan segera untuk memastikan syarikat mendapat subsidi sebelum penyasaran dilaksanakan, termasuk kadar harga subsidi SKPS,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menambah, penyasaran subsidi petrol RON95 juga akan dilaksanakan bagi kenderaan persendirian warganegara Malaysia di Sabah dan Sarawak, membolehkan mereka menikmati harga runcit RM1.99 seliter, seperti diumumkan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Butiran penuh mekanisme penyasaran akan diumumkan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.

E Berita E Berita

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp