KUALA LUMPUR, 19 Februari 2026 – Surau Al-Barakah Menara Kembar Bank Rakyat melancarkan Tabung Infak Umrah dengan sasaran kutipan RM600,000 bagi menaja 100 individu dari golongan asnaf dan kumpulan berpendapatan rendah (B40) untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.
Inisiatif ini mendapat sokongan penuh Bank Rakyat sebagai rakan kerjasama utama serta ikhlas.com, rakan rasmi AirAsia, yang turut mempromosikan kempen tersebut bagi mencapai matlamat kutipan.
Kutipan dana bermula pada 1 Ramadan 1447H bersamaan 19 Februari 2026 melalui kod QR Tabung Infak Umrah yang disediakan, membolehkan orang ramai menyumbang secara telus dan efisien. Semua sumbangan akan digunakan sepenuhnya untuk menampung kos pakej umrah bagi 100 penerima terpilih.
Individu yang layak boleh memohon dengan mengisi borang yang tersedia di laman web rasmi atau mana-mana cawangan Bank Rakyat. Pemohon dikehendaki menyertakan kisah inspirasi umrah mereka sebagai bahan penilaian. Permohonan dibenarkan untuk diri sendiri atau mencalonkan individu lain yang memenuhi syarat. Semua permohonan akan dinilai oleh jawatankuasa khas yang dilantik.
Selain merealisasikan impian golongan kurang berkemampuan, inisiatif ini turut bertujuan memupuk budaya infak, sedekah jariah dan amalan kebajikan dalam masyarakat.
Orang ramai dijemput menyumbang bagi mencapai sasaran kutipan, sekaligus membuka peluang pahala berterusan serta memberi harapan baru kepada mereka yang kurang bernasib baik untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
