SMK KOTA MASAI PERKASA PROGRAM TRANSISI KE KERJAYA, USAHA PERKUKUH MASA DEPAN MURID BERKEPERLUAN PENDIDIKAN KHAS

26

Ditulis oleh : Rozak Hadi

Kota Masai – SMK Kota Masai telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan Majlis Permuafakatan Latihan Industri Program Transisi Ke Kerjaya Pendidikan Khas yang berlangsung pada 24 September 2025 bertempat di Aula Sari, SMK Kota Masai.

Majlis ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil industri, ibu bapa, guru pendidikan khas, dan agensi sokongan, dengan tujuan utama untuk membentuk kerjasama strategik dalam usaha memperkasakan murid berkeperluan khas melalui program transisi ke kerjaya.

Semasa sesi taklimat, Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kota Masai, Puan Jamilah Ali  menekankan betapa pentingnya hubungan antara pihak sekolah dan komuniti luar dalam menyediakan peluang latihan industri yang realistik dan inklusif kepada murid-murid pendidikan khas.

Program Transisi Ke Kerjaya ini bukan sahaja membuka ruang kepada murid untuk meneroka alam pekerjaan sebenar, tetapi turut memupuk keyakinan diri serta kemahiran insaniah yang sangat diperlukan dalam dunia pekerjaan masa kini.”

Penglibatan agensi luar membuktikan sokongan industri dalam memperkasa kemenjadian MBPK dan membantu melestarikan budaya cemerlang dalam dunia pendidikan,” katanya 

Puan Jamilah Ali, Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kota Masai semasa sedang mengetuai sesi taklimat Latihan Industri dan Program Transisi Ke Kerjaya kepada Ibubapa, MBPK dan agensi yang terlibat.

Majlis ini juga menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman antara PPKI SMK Kota Masai dan beberapa syarikat terlibat sebagai simbol komitmen terhadap penyediaan peluang latihan industri kepada murid berkeperluan khas. Antara sektor yang terlibat adalah AZ Carwash (Khidmat Penyelenggaraan Dan Cucian Kereta), Fila Satu Enterprise (Khidmat Penyediaan Makanan dan Minuman) dan  Kayangan Event Hall (Khidmat Pengurusan Ruang Majlis Perkahwinan dan Korporat).

Program Transisi ke Kerjaya adalah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mempersiapkan MBPK bagi menghadapi alam pekerjaan selepas tamat persekolahan.

Melalui latihan industri, MBPK akan mendapatkan pendedahan latihan vokasional, pembangunan kendiri, kemahiran sosial dan juga pengalaman dunia sebenar pekerjaan.

Majlis Permuafakatan ini merupakan sebahagian daripada pelan tindakan jangka panjang Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Kota Masai dalam memastikan murid berkeperluan khas tidak tercicir, malah mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Dengan kejayaan penganjuran majlis ini, SMK Kota Masai terus komited dalam mengangkat martabat pendidikan khas melalui pendekatan inklusif dan kolaboratif demi masa depan yang lebih cerah buat anak-anak istimewa.

E Berita E Berita

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp