MUAR: Polis berjaya menumpaskan sebuah sindiket pengedaran dadah antarabangsa dalam satu operasi khas di Johor dan Lembah Klang, dengan rampasan dadah bernilai lebih RM2 juta serta penangkapan 10 suspek termasuk seorang warga Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Dato’ Hussein Omar Khan, berkata operasi itu dilancarkan serentak bermula jam 2 petang hingga 5 petang semalam, bertindak atas maklumat risikan.
“Kesemua suspek berusia antara 29 hingga 70 tahun telah ditangkap dalam empat siri serbuan,” katanya dalam sidang media di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar hari ini.
Hasil serbuan, polis merampas 61.3 kilogram dadah disyaki methamphetamine dan 105 biji pil disyaki ekstasi, yang dianggarkan mampu memudaratkan lebih 306,000 nyawa.
Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak Oktober 2024, dengan ahli-ahlinya menerima bayaran antara RM3,000 hingga RM15,000 sebulan.
Enam suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, ketamin, THC dan benzo melalui ujian air kencing, manakala tiga lagi mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya, Kanun Keseksaan serta Akta Senjata Api.
Selain rampasan dadah, polis turut menyita aset bernilai kira-kira RM725,655 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk lima kereta mewah, dua motosikal berkuasa tinggi, jam tangan jenama antarabangsa, barangan kemas, beg tangan mewah dan wang tunai RM2,580.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan mencecah RM2.701 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Selepas sidang media, Dato’ Hussein menyertai Program Solat Jumaat di Masjid Sultan Ibrahim, Muar, dan menyerahkan sumbangan kepada wakil masjid sebagai tanda sokongan JSJN serta IPD Muar terhadap institusi keagamaan dan masyarakat setempat.
Turut hadir Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa) SAC Mohd Afzanizam Yahaya, Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa) ACP Hairi Ramlan, Ketua JSJN Johor ACP Mohamad Alpiyang Ali, Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz serta wakil JSJN Bukit Aman dan warga IPD Muar.
Dato’ Hussein menegaskan kejayaan ini mencerminkan komitmen JSJN dalam membanteras jenayah dadah bagi menjamin keselamatan rakyat.
Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN di 012-208 7222.