Oleh Sr Dr Nurshuhada Zainon
Sebelum industri pembinaan dimodenkan dengan keluli, konkrit dan jentera berat, nenek moyang kita di rantau Asia telah pun memiliki kepakaran untuk mendirikan struktur kukuh menggunakan kayu tanpa sebarang paku atau gam. Di Malaysia, asas teknik binaan ini dikenali sebagai tanggam; sebuah kaedah penyambungan kayu tradisional yang menggabungkan potongan dan takukan khusus sehingga dua komponen kayu dapat mengunci antara satu sama lain dengan rapat dan stabil. Di banyak negara Asia, teknik warisan seperti ini membentuk identiti seni bina tradisional. Menariknya, ia bukan sekadar kaedah pertukangan, tetapi juga lambang bagaimana masyarakat dahulu memahami dan mempraktikkan kelestarian secara intuitif melalui tiga aspek utama: alam sekitar, sosial dan ekonomi.
Dalam konteks kelestarian alam sekitar, kecekapan penggunaan bahan merupakan elemen yang sangat jelas. Tukang kayu dahulu kala tidak memotong kayu secara sewenang-wenangnya. Mereka perlu “membaca” urat kayu, menilai arah serat, memahami tahap kelembapan dan mengenal pasti kekerasannya sebelum melakukan sebarang potongan. Pemahaman mendalam ini memastikan bahan digunakan dengan optimum, sekali gus meminimumkan sisa sejak awal proses pembinaan. Pada masa sama, ia menggalakkan penggunaan bahan mentah secara berhemah kerana jumlah kayu yang digunakan ditentukan oleh apa yang ada di persekitaran.
Sambungan tanggam juga selari dengan sifat semula jadi kayu yang boleh mengembang dan mengecut mengikut kelembapan, membolehkan struktur menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca tanpa menjejaskan kestabilan rumah. Bentuk rumah tradisional di Malaysia, contohnya, dibentuk berdasarkan angin, cahaya matahari, hujan dan keperluan keluarga yang bakal mendiami rumah tersebut. Di Jepun, teknik serupa (yang dikenali sebagai kigumi) menghasilkan sambungan yang saling mengunci, membolehkan kayu-kayu pendek disambung menjadi komponen struktur yang panjang dan kuat. Keanjalan semula jadinya membantu bangunan menyerap hentakan dan pergerakan tanah, satu ciri penting bagi negara yang kerap dilanda gempa bumi.
Kebaikan teknik tanggam dan kigumi dapat dilihat pada modulariti rumah kayu yang boleh dibuka dan dipasang semula. Jika berlaku kerosakan, hanya bahagian tertentu perlu diganti tanpa mengusik struktur utama, seperti mana amalan penyelenggaraan pada bangunan kigumi di Jepun. Kaedah ini seiring dengan prinsip ekonomi kitaran, yang menekankan penggunaan bahan secara berulang dan memanjangkan hayat bangunan. Tidak hairanlah banyak binaan kayu lama masih kukuh hari ini, selagi ia dijaga dengan baik.
Dari sudut sosial, teknik pertukangan tradisional turut memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti masyarakat. Sebelum wujudnya pita ukur piawai, tukang menggunakan ukuran badan seperti depa, jengkal dan hasta untuk menentukan dimensi struktur. Kaedah ini membentuk proporsi ruang yang harmoni dan berskala manusia. Keseluruhan proses ini melahirkan rumah yang bukan sahaja praktikal, tetapi juga mencerminkan hubungan rapat antara manusia, budaya dan alam.
Hari ini, pembinaan seni bina kayu semakin diberi perhatian semula. Isu perubahan iklim dan keperluan mengurangkan pelepasan karbon menyebabkan pembinaan berasaskan kayu dikaji semula sebagai antara pilihan paling lestari. Di beberapa negara maju seperti Jepun, Kanada dan negara-negara Eropah, penggunaan kayu dalam pembinaan kini diperkembangkan melalui teknologi moden seperti kayu besar-besaran (mass timber) dan kayu berlamina silang (cross-laminated timber). Perkembangan ini menunjukkan bahawa kayu mempunyai peranan dalam perbincangan pembinaan rendah karbon di peringkat global.
Kayu sering dirujuk sebagai bahan binaan yang rendah jejak karbonnya. Beberapa kajian antarabangsa menunjukkan bahawa jejak karbon terbenam dalam sistem pembinaan kayu boleh menjadi sekitar 20 peratus lebih rendah berbanding struktur konkrit atau keluli setara, bergantung pada reka bentuk dan bahan yang digunakan. Pokok juga menyimpan karbon sepanjang hayatnya, dan apabila kayu digunakan sebagai bahan binaan, karbon itu kekal terperangkap selagi struktur tersebut masih berdiri. Selain itu, kayu mempunyai sifat penebat semula jadi yang membantu mengekalkan suhu dalaman, sekali gus berpotensi mengurangkan penggunaan tenaga untuk penyejukan atau pemanasan ruang.
Warisan lama ini mengingatkan kita bahawa penyelesaian untuk masa depan tidak semestinya bergantung pada teknologi baharu semata-mata. Ada masanya, jawapan yang kita cari sudahpun wujud dalam amalan masyarakat terdahulu, tersimpan dalam teknik pertukangan yang teliti dan pemahaman mendalam terhadap alam. Tanggam dan pelbagai sistem sambungan kayu tradisional menunjukkan bagaimana generasi sebelum kita mampu membina secara bertanggungjawab tanpa meninggalkan kesan besar terhadap bumi. Kini terpulang kepada kita; sama ada mahu menghidupkan semula kebijaksanaan itu sebagai sebahagian daripada usaha menuju pembinaan yang lebih lestari, atau membiarkannya perlahan-lahan hilang daripada generasi ke generasi.

Sr Dr Nurshuhada Zainon ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, dan merupakan ketua projek penyelidikan Tanggam-Kigumi yang dibiayai oleh Universiti Malaya dan Sumitomo Foundation, bersama-sama Mohd Hafizal Mohd Isa, Nur Mardhiyah Aziz, Nur Rasyiqah Abu Hassan dan Siti Aishah Abd Wahab.
