Busan, Korea Selatan, 29 Ogos 2025 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof, menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan bersama diaspora Malaysia di Busan, Republik Korea, malam tadi dalam satu majlis makan malam anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Korea Selatan. Majlis itu diakhiri dengan gema laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” yang penuh semangat.
Dalam tradisi setiap lawatan kerja ke luar negara, Dato’ Sri Fadillah meluangkan masa bertemu dan menyantuni diaspora Malaysia untuk berkongsi perkembangan terkini tanah air serta mendengar aspirasi dan suara hati anak Malaysia di perantauan. Malam tadi, beliau turut berkongsi mengenai dasar peralihan tenaga dan transformasi air negara, selain perkembangan ekonomi dan politik Malaysia.

“Pastinya saya amat berbangga dengan pencapaian anak-anak Malaysia di mana pun mereka berada, mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Banyak kisah kejayaan, ada yang diketahui umum dan ada juga yang secara senyap membina kejayaan cemerlang menerusi kepakaran,” ujar beliau.
Beliau turut menyatakan harapan agar warga Malaysia di Korea Selatan terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Korea.
Dato’ Sri Fadillah juga menyampaikan penghargaan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, khususnya kepada Duta Besar Malaysia, TYT Dato’ Mohd Zamruni Khalid, atas penganjuran majlis tersebut.