PUTRAJAYA, 8 Julai 2025 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengadakan sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini, bertujuan untuk merangka pelan tindakan strategik di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Sesi ini turut disempurnakan oleh kehadiran Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II yang kini juga bertanggungjawab sebagai Menteri Ekonomi, menjadikan perbincangan lebih komprehensif merentasi dua kementerian utama.
Menurut Saifuddin, sesi ini amat penting kerana KDN memainkan peranan kritikal dalam mengurus hal ehwal keselamatan, ketenteraman awam, penguatkuasaan undang-undang, sempadan negara, dokumentasi, dan urusan imigresen, yang semuanya berkait rapat dengan denyut nadi rakyat.
“Kita mahu memastikan bahawa segala cadangan, perancangan, dan intervensi di bawah RMK13 benar-benar menyentuh perkara pokok iaitu kebajikan rakyat, keberkesanan sistem penyampaian, dan keupayaan institusi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa setiap dasar yang dicadangkan mestilah mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat, disokong oleh sistem pelaksanaan yang cekap, serta ditunjangi institusi yang berwibawa dan berdaya saing.
“Hanya dengan gabungan ketiga-tiga elemen ini, RMK13 akan menjadi pelan tindakan yang realistik dan bermakna untuk masa depan negara,” tambahnya.
Sesi libat urus ini diadakan susulan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang membincangkan RMK13 baru-baru ini, di mana pelbagai aspek pembangunan negara diterokai untuk memastikan pelan ini mencerminkan keperluan dan aspirasi rakyat Malaysia.
