Oleh Monika @ Munirah Abd Razzak
Setiap hari dalam bulan Ramadan mempunyai keberkatan tersendiri, namun detik menunggu azan Maghrib adalah antara waktu paling berharga yang sering dipandang ringan. Ramai menghabiskan masa terakhir sebelum berbuka dengan menyediakan juadah, melayari telefon atau berbual kosong, sedangkan pada saat itulah pintu doa sedang terbuka luas. Islam mengajar bahawa nilai sesuatu waktu bukan pada lamanya, tetapi pada rahmat yang Allah letakkan padanya. Beberapa minit sebelum berbuka sebenarnya boleh menentukan nilai satu hari puasa seseorang.
Allah SWT mengingatkan tujuan puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi membina hubungan hamba dengan Tuhan. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 183: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. Ketakwaan inilah yang mencapai kemuncaknya pada saat menjelang berbuka, ketika seseorang menahan diri sepanjang hari lalu menyerahkan sepenuh harapan kepada Allah.
Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa terdapat tiga doa yang tidak akan ditolak iaitu doa orang berpuasa ketika berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi (Hadis hasan, diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, no. 3595). Ulama menerangkan bahawa maksudnya bukan hanya saat makanan menyentuh mulut, tetapi juga ketika menunggu azan Maghrib. Ketika itu hati berada dalam keadaan paling lembut kerana rasa lapar dan harapan bercampur menjadi penghambaan yang tulus.
Namun realitinya, saat mustajab ini sering digantikan dengan kesibukan dunia. Ada yang sibuk mengambil gambar makanan, ada yang berebut-rebut memilih juadah makanan yang dihidangkan, ada yang leka menonton video dan ada yang hanya menunggu masa tanpa mengingati Allah. Para ulama seperti Ibn Rajab al-Hanbali mengingatkan bahawa antara tanda orang rugi dalam bulan Ramadan ialah mereka yang melalui hari puasa tanpa memperbanyakkan doa dan istighfar, terutama ketika hampir berbuka.
Sunnah Nabi SAW mengajar agar berbuka dengan sederhana dan segera, bukan dengan gelojoh. Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Baginda menyukai menyegerakan berbuka. Hikmahnya supaya hati segera bersyukur, bukan terlalu tenggelam dalam nafsu makan. Bahkan doa yang diajar ketika berbuka sangat ringkas tetapi mendalam maknanya: “Hilanglah dahaga, basahlah urat dan tetaplah pahala insya-Allah”. Ia menanam kesedaran bahawa nikmat air seteguk pun adalah kurniaan Allah.
Selain berdoa untuk diri sendiri, saat berbuka juga waktu terbaik mendoakan orang lain. Para ulama menyebut bahawa doa seorang mukmin untuk saudaranya tanpa pengetahuannya diiringi doa malaikat yang mengaminkan. Maka beberapa minit sebelum azan, seseorang boleh menyebut nama ibu bapa, pasangan, anak, jiran, guru, rakan, bahkan umat Islam seluruhnya. Inilah ibadah yang ringan di lidah tetapi berat di timbangan akhirat.
Sebenarnya beberapa minit sebelum berbuka adalah latihan keikhlasan. Sepanjang hari manusia bekerja, berurusan dan bercakap dengan manusia, tetapi saat menunggu azan dia kembali sendirian di hadapan Allah. Di situlah teruji apa yang benar-benar diminta dalam hidup. Ada yang hanya meminta rezeki dunia, ada yang memohon keampunan, dan ada yang meminta syurga. Nilai Ramadan banyak ditentukan oleh apa yang keluar dari hati pada saat ini.
Akhirnya, waktu berbuka adalah madrasah harian sepanjang Ramadan. Ia mengajar kita tiga perkara iaitu berdoa dengan penuh pengharapan, berkongsi dengan penuh keikhlasan dan makan dengan penuh kesyukuran. Mereka yang memahami hakikat ini tidak akan menunggu azan dengan tangan memegang sudu, tetapi dengan tangan menadah langit. Kerana pada saat orang lain menikmati makanan, orang beriman menikmati keampunan dari Allah SWT.

Prof Madya Dr Monika @ Munirah Abd Razzak ialah Profesor Madya di Jabatan Al-Quran & Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
