Rasulullah itu rahmat seluruh alam

2

Oleh Mohd Anuar Ramli

Apabila menjengah ke bulan Rabiul Awwal, pasti akan ada lonjakan rasa kerinduan dan ingatan terhadap sosok yang disanjungi oleh umat Islam, iaitu peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW. Ia merupakan satu anugerah yang istimewa. Ini disebabkan kelahiran Nabi Muhammad SAW merupakan satu rahmat ke seluruh alam. Baginda telah membawa obor pembebasan manusia daripada tradisi yang bersifat jahiliyyah kepada tradisi yang berdasarkan wahyu dan akal yang murni.

Gambar hiasan oleh Ahmet Kurem – Unsplash.

Sepanjang tempoh dakwah Baginda lebih kurang 23 tahun, yakni 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah, Baginda berjaya membuat pelbagai perubahan dalam kehidupan masyarakat Arab ketika itu. Di antaranya adalah:

a) Memperkenalkan akidah tauhid. Sebagai Nabi yang terakhir yang diutuskan umat manusia, Nabi Muhammad SAW ditugaskan untuk membawa manusia kembali kepada akidah tauhid, iaitu mengesakan Allah SWT tanpa sebarang sekutu. Atau dengan kata lain, tradisi menyembah berhala atau syirik telah dihapuskan oleh Baginda SAW.

b) Memperkenalkan ibadah yang dituntut kepada umat Islam. Sepertimana tersurat dalam rukun Islam, dengan terucapnya kalimah syahadah, seorang Muslim tertakluk kepada kewajipan dan larangan tertentu. Ini termasuklah mendirikan solat fardu lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat serta mengerjakan haji dan umrah. Di samping ibadat yang wajib, terdapat juga amalan yang disunatkan dan diharuskan.

c) Menggariskan batasan muamalat yang dibenarkan. Kehidupan umat Islam banyak berkisar tentang muamalat kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia. Dengan itu, Baginda menggariskan panduan muamalat yang dibenarkan seperti jual beli, sewa, dan melarang umat Islam dari muamalah berbentuk riba, menindas dan mengambil hak orang secara batil.

d) Menyediakan panduan perkahwinan yang sahih. Perkahwinan disyariatkan selari dengan tuntutan pemenuhan naluri seksual dan kasih sayang manusia agar keturunan manusia terjaga. Jadi ia perlu kepada peraturan yang khusus. Di samping digalakkan kepada umat Islam untuk mendirikan rumahtangga, di sana juga terdapat aturan yang berkaitan dengan pembubaran dan penceraian bagi mengelak manusia melakukan kezaliman kepada pasangan.

e) Memberikan panduan hukuman bagi kesalahan jenayah yang adil. Dalam aktiviti harian, pasti ada golongan yang melanggar peraturan dan perundangan. Dengan itu, Rasulullah SAW telah meninggalkan panduan berkaitan dengan jenis kesalahan dan jenayah serta peruntukan hukuman bagi menjaga kestabilan dan kehidupan masyarakat Islam. Ia boleh dilihat dalam jenis jenayah yang berbentuk hudud, qisas dan takzir. Di sinilah berlakunya pengharaman zina, qazaf, mencuri dan minum arak.

f) Mengangkat martabat kaum wanita dan kanak-kanak perempuan. Sebagai agama samawi, Islam menitikberatkan aspek persamaan dalam penciptaan di antara lelaki dan perempuan. Kedatangan Nabi Muhammad SAW telah membawa ajaran yang bersifat egalitarian dan yang membezakan antara lelaki atau perempuan adalah tahap ketaqwaan kepada Allah SWT. Jadi, Baginda menghapuskan tradisi yang merendahkan wanita dalam perkahwinan, memberikan hak untuk mewarisi harta dan hak untuk hidup dengan menghapuskan tradisi penguburan anak-anak perempuan secara hidup-hidup untuk menjaga maruah kabilah.

g) Menunjukkan contoh akhlak dan teladan yang baik. Sebagai utusan Allah SWT, Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan legasi akhlak yang unggul kerana akhlak Baginda umpama al-Quran. Sifat-sifat mahmudah yang terangkum pada diri Baginda menjadi panduan kepada umat Islam sama ada dalam hubungan sesama umat Islam atau bersama dengan orang bukan Islam. Pedoman akhlak Baginda juga dapat dilihat ketika mana menyantuni golongan wanita, kanak-kanak, hamba dan golongan yang lemah dalam masyarakat.

Selain daripada jasa-jasa tersebut, terdapat banyak lagi keistimewaan Baginda SAW. Limpahan dakwah Baginda tidak hanya dinikmati oleh umat Islam malah turut dinikmati oleh orang bukan Islam di seluruh dunia kini.

Sehubungan dengan itu, ulangtahun kelahiran Baginda disambut oleh umat Islam di seluruh dunia dengan meriah. Bagi Baginda, ulangtahun kelahiran Baginda disambut dengan rasa syukur dan Baginda berpuasa pada hari Isnin, iaitu hari kelahiran Baginda SAW. Bagi umat Islam, pelbagai pengisian dilakukan bagi menjelmakan rasa rindu dan sayang kepada Baginda SAW, apatah lagi kini umat Islam semakin jauh zamannya dengan Nabi Muhammad SAW, malah masih ada umat Islam yang masih belum mengenali Baginda, lantas bagaimanakah akan tumbuh rasa rindu dan cinta. 

Perasaan rindu dan cinta ini hakikatnya bukanlah bentuk pemujaan berlebihan dan penyembahan kepada Baginda SAW. Umat Islam masih lagi waras untuk membezakan antara menyembah Allah SWT dan memuji dan menyintai kekasih Allah, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Selari dengan itu, penuhilah pengisian sambutan maulid Nabi SAW dengan pelbagai rangkaian kebaikan seperti berselawat, membaca sirah dan hadis Baginda atau bersedekah, menjamu orang makan dan pelbagai bentuk kebaikan. Sebaliknya elakkanlah pengisian yang boleh dicemari dengan unsur maksiat seperti melalaikan, percampuran tanpa batasan dan pembaziran. Ini kerana tujuan sambutan ini adalah untuk menyemarakkan rasa rindu dan cinta kepada Baginda, bukan menyelisihi teladan dan pedoman Baginda SAW.

Bayangkan bahawa Allah SWT dan para malaikat pun berselawat kepada Baginda SAW, apatah lagi umat Baginda, sewajarnya lebih banyak keperluan untuk berselawat kepada Baginda. Ini disebut dalam al-Quran, surah al-Ahzab ayat 56, maknanya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman! berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. 

Makna selawat daripada Allah SWT adalah memberikan rahmat dan kebaikan kepada Rasulullah, manakala selawat daripada malaikat adalah memohon keampunan dan keselamatan kepada Baginda, sedangkan selawat daripada umat Baginda adalah memohon rahmat dan kesejahteraan kepada Nabi Muhammad SAW. Dengan itu, hiasilah mulut dan basahkanlah lidah dengan sentiasa berselawat kepada Baginda agar kita layak untuk mendapat syafaat kelak.

Jelasnya, Baginda SAW sangat istimewa dan layak dihargai dengan mengikuti pusaka yang ditinggalkan Baginda menerusi al-Quran dan al-Sunnah, juga contoh teladan yang terbaik yang ditunjukkan Baginda. Jadikan sambutan maulidur rasul ini sebagai momentum untuk mengenali dan mengikuti ajaran Baginda. Atau yang lebih baik, kita dapat rasakan bahawa setiap hari adalah hari ulangtahun kelahiran Baginda SAW dan kita mencontohi kehidupan Baginda.


Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli ialah Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Pendapat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp