Oleh Nur Syazwani Ahmad
Pejam celik, pejam celik, kita kembali bertemu dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Tanpa kita sedar, masa berlalu begitu pantas. Namun, yang menjadikan Ramadan sentiasa istimewa bukan sekadar juadah berbuka atau kemeriahan bazar, tetapi gelagat dan pengalaman masyarakat menjalani ibadah puasa. Dari gelagat kanak-kanak yang baru belajar berpuasa hinggalah orang dewasa yang sibuk merancang menu berbuka, semuanya kini dapat kita saksikan hampir setiap hari melalui media sosial. Tanpa kita sedari, kehidupan digital telah menjadi sebahagian daripada pengalaman Ramadan masyarakat moden.
Selain menjadi bulan untuk meningkatkan ibadah, Ramadan juga sering dijadikan masa untuk memperbaiki diri dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Jika dahulu masyarakat lebih banyak menghadiri majlis ilmu secara fizikal di masjid atau surau, kini media sosial dan platform digital turut menjadi ruang alternatif untuk mengikuti kuliah dan ceramah agama secara dalam talian. Ilmu kini boleh diakses hanya melalui telefon pintar, tanpa batasan lokasi dan masa.
Kehadiran media sosial menjadikan pengalaman Ramadan tidak lagi terhad di rumah atau masjid, tetapi turut berkembang dalam ruang digital. Semua lapisan masyarakat dari pelajar, pekerja, ibu bapa, peniaga kecil, malah warga emas, semakin mahir menggunakan teknologi untuk berhubung dengan keluarga, mengikuti kelas agama, serta berkongsi tips sahur dan menu berbuka.
Media sosial juga memberi ruang kepada golongan muda mendapatkan inspirasi melalui kandungan Ramadan di media sosial seperti video resipi sahur dan berbuka yang ringkas, tips mengekalkan tenaga sepanjang berpuasa, atau cabaran melakukan kebaikan harian. Ibu bapa pula sering mencari idea menyediakan juadah mudah, aktiviti Ramadan bersama anak-anak, serta panduan mendidik anak belajar berpuasa.
Golongan pekerja memanfaatkan ceramah atau tazkirah dalam talian yang boleh diikuti ketika perjalanan pulang atau waktu rehat, manakala warga emas kini semakin selesa mengikuti kelas agama secara langsung melalui platform digital tanpa perlu keluar rumah. Media sosial juga turut menjadi platform penyebaran informasi, ilmu dan motivasi di bulan Ramadan. Perkongsian hadis, peringatan harian, panduan ibadah serta kisah inspirasi mudah dicapai oleh sesiapa sahaja. Pada masa yang sama, platform digital turut membantu menggerakkan aktiviti kebajikan seperti kutipan derma, bantuan dan program iftar untuk golongan memerlukan. Ramai yang masih dapat menyumbang walaupun tidak hadir secara fizikal, menjadikan semangat membantu lebih meluas.
Namun begitu, penggunaan media sosial secara berlebihan juga membawa cabaran tersendiri. Ada kalanya masa yang sepatutnya digunakan untuk beribadah atau berinteraksi bersama keluarga dihabiskan dengan melayari media sosial tanpa kawalan. Tidak kurang juga yang merasa tertekan atau rendah diri apabila melihat paparan kehidupan orang lain yang kelihatan lebih sempurna dengan juadah berbuka yang mewah, rutin ibadah yang konsisten, atau suasana keluarga yang tampak ideal.
Selain itu, penyebaran maklumat agama yang tidak sahih serta penipuan sumbangan dalam talian turut menjadi kebimbangan, terutama apabila ramai ingin melakukan kebajikan sepanjang Ramadan. Golongan warga emas pula sering menjadi sasaran mesej palsu atau pautan penipuan berkaitan bantuan atau derma Ramadan.
Oleh itu, pendekatan penggunaan teknologi yang lebih seimbang amat penting agar pengalaman Ramadan tidak kehilangan nilai sebenarnya. Antara langkah mudah yang boleh diamalkan ialah menetapkan waktu tanpa telefon semasa sahur dan berbuka supaya ahli keluarga dapat berbual dan menikmati kebersamaan tanpa gangguan skrin. Pengguna juga boleh memilih kandungan digital yang memberi manfaat serta menghadkan masa penggunaan media sosial agar tidak mengganggu rutin ibadah.
Masyarakat juga perlu lebih berhati-hati sebelum berkongsi maklumat atau menyertai kempen sumbangan dalam talian dengan memastikan kesahihannya terlebih dahulu. Pendidikan literasi digital perlu diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat, khususnya warga emas, agar mereka lebih peka terhadap risiko penipuan dalam talian.
Akhirnya, Ramadan dalam era digital bukan sesuatu yang perlu ditolak, tetapi perlu diurus dengan bijak. Teknologi boleh menjadi alat yang membantu meningkatkan ibadah, memperkukuh hubungan sosial dan memudahkan aktiviti kebajikan jika digunakan dengan tujuan yang betul. Walaupun dunia semakin digital, nilai sebenar Ramadan tetap sama, kesabaran, kesederhanaan dan keprihatinan terhadap orang lain.
Sama ada di rumah, di masjid, atau di ruang maya, Ramadan tetap tentang bagaimana kita membina hubungan dengan Tuhan dan sesama manusia, sambil menghargai momen kecil yang membuat kita tersenyum sepanjang perjalanan sebulan yang penuh makna ini. Selamat berpuasa.

Dr. Nur Syazwani Ahmad ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya
