Persaraan tanpa simpanan ialah sebuah krisis masa depan 

By Nurul Aishah Khairuddin

Malaysia sedang melangkah ke satu fasa demografi baharu di mana bilangan warga emas dalam masyarakat semakin meningkat, dan perubahan ini memberi impak besar kepada struktur keluarga, ekonomi, serta dasar sosial negara. Namun persoalan yang lebih kritikal ialah: adakah kita benar-benar bersedia untuk menghadapi realiti ini?

Laporan KWSP menunjukkan bahawa hanya sekitar 36 peratus ahli aktif formal telah mencapai tahap Simpanan Asas mengikut umur, bersandarkan penanda aras RM240,000 pada usia 55 tahun, iaitu jumlah minimum yang dianggap mencukupi untuk menampung keperluan asas sepanjang kira-kira 20 tahun persaraan. Meskipun angka ini mungkin berubah susulan pelarasan baharu, ia tetap mencerminkan tahap persediaan persaraan rakyat Malaysia yang masih belum memadai.

Menerusi tinjauan awal dan kajian literatur yang sedang saya jalankan mengenai penuaan dan corak perbelanjaan warga emas, saya dapati bahawa peningkatan usia lazimnya dikaitkan dengan kenaikan kos sara hidup, khususnya dalam aspek kesihatan, makanan dan penjagaan. Walaupun dapatan penuh kajian masih dalam proses, corak ini memperlihatkan realiti yang wajar diberi perhatian dalam dasar sosial negara.

Pada masa sama, ramai warga emas tidak mempunyai sumber pendapatan tetap selepas bersara, dan bergantung sepenuhnya kepada anak-anak. Namun, generasi muda hari ini sendiri sedang berdepan tekanan kewangan yang besar di mana kos sara hidup, pinjaman pendidikan, komitmen rumah, dan pekerjaan yang tidak stabil. Apabila kedua-dua generasi bergelut secara serentak, tekanan ekonomi keluarga menjadi semakin runcing.

Lebih membimbangkan, sebahagian besar pekerja dalam sektor tidak formal seperti penjaja kecil, penghantar makanan, peniaga atas talian dan pekerja gig tidak mencarum dalam mana-mana skim persaraan. Mereka hidup cukup-cukup makan hari ini, namun tanpa sebarang pelan masa depan. Ini menimbulkan persoalan besar: apabila mereka mencapai usia tua, siapakah yang akan menanggung kos hidup mereka?

Sebelum ini, beberapa dasar luar jangka seperti pengeluaran KWSP secara sekali gus telah dibenarkan atas dasar membantu rakyat semasa pandemik. Namun pendekatan ini, walaupun bersifat sementara, telah memberi kesan besar kepada simpanan jangka panjang. Ramai yang kini menghadapi situasi simpanan yang sangat rendah, dan ada yang hampir kosong. Sekiranya tiada pembaharuan, kita bakal menyaksikan generasi pesara yang hidup dalam keadaan daif, dan dalam jumlah yang besar.

Isu ini tidak boleh dilihat sebagai masalah individu semata-mata. Ia adalah cabaran dasar awam yang memerlukan pendekatan menyeluruh dan inklusif. Kita memerlukan sistem persaraan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan struktur ekonomi dan sosial masyarakat hari ini. Golongan pekerja tidak formal perlu diberi saluran khas untuk mencarum. Suri rumah dan penjaga keluarga juga wajar dimasukkan dalam rangka pelindungan sosial negara.

Dalam jangka panjang, krisis persaraan tanpa simpanan boleh membawa implikasi besar kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara. Kumpulan warga emas yang hidup dalam kemiskinan akan meningkatkan tekanan terhadap sistem kebajikan awam dan perkhidmatan kesihatan kerajaan. Beban yang sepatutnya ditanggung bersama akhirnya akan dipikul oleh bajet negara dan rakyat yang masih bekerja. Ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan individu, tetapi juga kelestarian fiskal negara dalam jangka masa panjang.

Kita juga perlu mula bercakap tentang ‘ekonomi penjagaan’ iaitu satu sektor yang bukan sahaja menyediakan pekerjaan, tetapi juga menyokong warga emas dan penjaga mereka. Dengan populasi yang semakin menua, permintaan terhadap penjagaan harian, kesihatan rumah, dan perkhidmatan sokongan akan meningkat. Jika tidak diurus awal, ini akan menjadi tekanan besar kepada sistem kesihatan dan keluarga. Peluang pekerjaan dalam bidang ini juga harus dibangunkan sebagai sektor ekonomi formal dan berimpak tinggi.

Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai dasar umur persaraan yang lebih fleksibel. Tidak semua individu mahu atau mampu berhenti bekerja pada usia tertentu. Ada yang ingin terus menyumbang, ada pula yang memerlukan pendapatan tambahan. Sistem kerja fleksibel untuk warga emas pasca-persaraan bukan sahaja mengekalkan maruah mereka, tetapi juga mengurangkan beban negara. Majikan juga perlu diberikan insentif untuk mengekalkan pekerja senior yang masih produktif.

Peranan kerajaan tidak boleh dipisahkan daripada usaha reformasi ini. Namun, tanggungjawab tidak boleh diletakkan di bahu satu pihak sahaja. Pihak majikan, institusi kewangan, komuniti dan masyarakat sivil perlu bekerjasama membentuk satu ekosistem menyeluruh yang menyokong rakyat menghadapi usia tua secara bermaruah dan sejahtera.

Sebagai seorang penyelidik dalam bidang ekonomi penuaan, saya percaya isu ini memerlukan kesedaran kolektif dan tindakan terancang. Penuaan bukan sesuatu yang perlu ditakuti – malah ia adalah satu anugerah umur panjang. Namun, anugerah ini hanya bermakna jika sistem sosial dan ekonomi kita mampu melindungi mereka yang melalui fasa ini dengan maruah.

Jika hari ini kita masih menangguhkan perancangan, esok mungkin sudah terlalu lambat. Kita semua sedang menuju ke arah yang sama — menua. Maka, sebarang tindakan yang diambil hari ini adalah hadiah kepada masa depan kita sendiri.


Dr Nurul Aishah Khairuddin

Dr Nurul Aishah Khairuddin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM),

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp