Kuala Lumpur, 15 Disember 2025 – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan pelancaran buku bertajuk The Man Who Could Move Mountains – Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris, sebuah penghormatan kepada Allahyarham S.M. Mohamed Idris, tokoh aktivis pengguna dan alam sekitar yang disegani di Malaysia.
Acara yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ini berlangsung pada pagi ini, dengan kehadiran beberapa tokoh termasuk Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul serta pegawai-pegawai kanan lain.
Dalam ucapannya, Anwar yang mengenali Allahyarham sejak era 1970-an, menggelar S.M. Mohamed Idris atau “Uncle Idris” sebagai insan yang sopan, tegas berprinsip dan bijaksana dalam menangani isu-isu dasar merentasi pelbagai lapisan masyarakat dan generasi.
Beliau menekankan bahawa buku ini bukan sekadar merakam sumbangan besar Allahyarham kepada gerakan masyarakat sivil, tetapi juga menjadi khazanah ilmu yang mengangkat nilai keberanian moral, keprihatinan sosial serta komitmen terhadap keadilan.
Anwar turut menyeru komuniti aktivis sosial agar terus menjadi penggerak perubahan, meneruskan aktivisme sivik berteraskan kemanusiaan, dan menjadikan naskhah ini sebagai rujukan bagi generasi masa hadapan.
Allahyarham S.M. Mohamed Idris, anak jati Pulau Pinang, merupakan pengasas dan bekas presiden CAP serta Sahabat Alam Malaysia (SAM), dan diiktiraf di peringkat nasional mahupun antarabangsa atas perjuangan beliau dalam hak pengguna, perlindungan alam sekitar serta keadilan sosial sepanjang lebih 50 tahun.
Pelancaran buku ini dilihat sebagai usaha penting untuk memelihara legasi beliau, terutamanya dalam era di mana suara masyarakat sivil amat diperlukan untuk membawa perubahan positif.

