21 Februari 2026
PENAMPANG: Pengajian bahasa etnik Sabah di universiti perlu disokong melalui pemberian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada para pelajar yang memilih pengajian ini.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick menyatakan sokongan tersebut perlu diperkenalkan sebagai galakan kepada para pelajar untuk memilih bidang pengajian tersebut dan seterusnya menjadi tenaga pengajar subjek tersebut di sekolah.
Pada masa ini, subjek bahasa Kadazandusun sudah menjadi kurikulum pendidikan negara yang diajar di sekolah rendah dan sekolah menengah di Sabah, manakala usaha memperkenalkan empat lagi bahasa etnik iaitu Kadazan Tangaa, Murut Timogun, Dusun Lotud dan Tatana sedang dimurnikan.


“Saya akan kemukakan kepada Ketua Menteri Sabah dan mesyuarat kabinet keperluan menyokong pengajaran bahasa etnik ini melalui pemberian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada para pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti seperi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menawarkan pengajian ini.
“Ini boleh menjadi galakan kepada para pelajar memilih bidang ini fan seterusnya menjadi tenaga pengajar subjek ini di sekolah.
“Saya yakin dengan kerjasama pelbagai pihak ini akan dapat memastikan kelestarian bahasa ibunda etnik Sabah,” katanya.


Ewon menyatakan demikian semasa ditemui media selepas menyempurnakan sambutan Hari Bahasa Ibunda Sedunia anjuran Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) di Dewan Huguan Siou, Kg Tuavon, di sini, hari ini.
Ewon turut melancarkan Webonary Kadazan-Malay-English yang menghimpunkan 36,673 entri bahasa Kadazan dan 29,387 entti bahasa Melayu.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) turut meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 daripada peruntukan beliau sebagai Ahli Parlimen Penampang dan peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) KKIP bagi menyokong usaha-usaha KLF membangunkan bahasa ibunda etnik Sabah tersebut.

Beliau turut bersetuju menyalurkan RM50,000 kepada Persatuan Bahasa Etnik Sabah (PBES) bagi membangunkan lebih banyak bahan pendidikan bagi keempat-empat bahasa etnik yang dicadangkan untuk diperkenalkan di sekolah.
Turut dilaksanakan dalam sambutan tersebut ialah Anugerah Kesusasteraan Tan Sri Bernard Dompok bagi pemenang-pemenang pertandingan novel bahasa Kadazandusun anjuran KLF.
