KUALA LUMPUR, 27 Februari 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh sinergi strategik dengan Shell Malaysia dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat menerusi Program Jalinan Kasih Ramadan yang diadakan di Masjid Bukit Aman, di sini, petang tadi.
Program anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bersama gabungan pengusaha Stesen Shell Wilayah Tengah itu merupakan manifestasi kerjasama strategik dalam memperkukuh jaringan keselamatan masyarakat setempat.
Majlis disempurnakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan KPN, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay serta Pengurus Besar Shell Mobiliti Malaysia, Puan Seow Lee Ming.
Dalam majlis tersebut, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid berbesar hati menyampaikan sumbangan daripada Shell Malaysia kepada 100 penerima yang terdiri daripada pesara polis, anak-anak yatim, anak kurang upaya dan balu warga PDRM.
Beliau dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengusaha Stesen Shell Wilayah Tengah dan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. atas komitmen yang jitu serta ketersediaan mereka dalam menjayakan program tersebut.
“Kolaborasi strategik PDRM bersama Shell seperti inisiatif ‘Go To Safety Point’ diyakini mampu meningkatkan tahap keselamatan komuniti secara lebih menyeluruh dan proaktif sebagai pusat rujukan selamat bagi orang awam yang memerlukan bantuan segera,” ujar beliau.
Beliau turut berharap agar kerjasama strategik bersama Shell dapat diteruskan bagi mempertingkatkan tahap keselamatan masyarakat demi kesejahteraan bersama.
Terdahulu, Ketua Polis Negara berkesempatan mengagihkan 1,000 bubur lambuk dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Aman.
Sebelum majlis berakhir, Puan Seow Lee Ming menyerahkan mock cheque bernilai RM3,000 kepada Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid untuk disalurkan ke Tabung Masjid Bukit Aman.
Turut hadir Pengarah JPJKK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, wakil-wakil Syarikat Shell Malaysia serta warga kerja Bukit Aman.
Program ini selaras dengan usaha PDRM memperkukuhkan hubungan komuniti sambil memastikan keselamatan awam terus terjamin sepanjang bulan Ramadan.
