KUALA LUMPUR, 24 Feb (LNA) — Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mendedahkan butiran penuh operasi khas berani yang dijalankan Bahagian Counter Terrorism E8 Cawangan Khas pada September-Oktober 2018, berjaya menyelamatkan seorang wanita rakyat Malaysia bersama dua anaknya yang terperangkap di Idlib, Syria.
Dalam catatan beliau, Tan Sri Ayob yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah E8 Counter Terrorism Bukit Aman menceritakan bagaimana operasi bermula pada awal September 2018 selepas menerima maklumat mengenai Aisyah (bukan nama sebenar), isteri seorang anggota Daesh warganegara Malaysia yang terbunuh dalam pertempuran di sekitar Idlib.
Selepas kematian suaminya, Aisyah dan dua anaknya hidup dalam ketakutan berterusan, serba kekurangan dan terpaksa berpindah-randah di zon peperangan yang sengit.
“Setelah Reno, pegawai operasi E8 berjaya menghubungi Aisyah, saya telah mengadakan mesyuarat penyelarasan melibatkan ACP Simon Kwan, Supt Mohd Raby dan pegawai-pegawai operasi lain bagi merancang operasi khas ini,” jelas Tan Sri Ayob.
Selepas meneliti segala risiko, Bahagian E8 menjalin kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasa Turkiye. Tiga pegawai terpilih — Reno, Rafael dan Pinky (pegawai wanita) — ditugaskan melaksanakan misi berisiko tinggi.
Pada 27 September 2018, Reno menghubungi Aisyah dan memberi panduan supaya beliau bersama anak-anak meninggalkan Idlib menuju pintu sempadan selatan Bab Al Hawa, Turkiye-Syria, sejauh 70 kilometer.
Tanpa sebarang dokumen pengenalan diri (pasport dirampas Daesh), Aisyah terpaksa menggunakan khidmat ‘kereta sapu’ yang sanggup mengambil risiko besar. Perjalanan memakan masa beberapa jam melalui jalan yang tidak sempurna di zon perang, dengan ancaman dibunuh jika pemandu ternyata anggota Daesh yang menyamar.
Pada 29 September 2018, Aisyah tiba di sempadan dan segera menghubungi Pinky. Situasi ketika itu amat kritikal — pintu sempadan dan kawasan sekitar dikuasai kumpulan pemberontak Syria, selain aktifnya sindiket pemerdagangan manusia dan pengedaran dadah.
Pasukan operasi E8 bertindak pantas, memaklumkan pihak keselamatan Turkiye yang berjaya menyelamatkan Aisyah dan kedua anaknya dalam masa beberapa minit sahaja.
Dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Ankara, Sijil Perakuan Cemas (Emergency Certificate) dikeluarkan dengan segera. Pada 5 Oktober 2018, ketiga-tiga mereka diiringi pasukan operasi dibawa pulang ke tanah air dan tiba di Malaysia pada 6 Oktober 2018.
Setibanya, Aisyah dan anak-anaknya dibawa ke Bukit Aman untuk bertemu semula dengan keluarga selepas bertahun-tahun terpisah.
Aisyah kemudian mengikuti program deradikalisasi serta pemulihan ideologi dan psikologi (trauma perang) yang diuruskan Bahagian Counter Terrorism E8.
“Operasi khas ini berjaya membawa pulang tiga rakyat Malaysia dengan selamat hasil kerjasama mantap antara Bahagian Counter Terrorism E8 Cawangan Khas dengan pihak keselamatan Turkiye serta bantuan Kedutaan Malaysia di Ankara,” kata Tan Sri Ayob.
Kejayaan operasi ini menunjukkan komitmen berterusan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melindungi rakyat yang terperangkap di kawasan konflik dan ancaman keganasan antarabangsa.
