Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengikuti dengan penuh keprihatinan perkembangan Misi Sumud Flotilla yang kini telah memasuki kawasan red zone dan ada yang telah ditahan termasuk 12 orang sukarelawan warga Malaysia.
WADAH menegaskan pendirian berikut:
1. Kutukan Terhadap Pencerobohan dan Penahanan -WADAH mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang menceroboh flotilla dan menahan para sukarelawan. Kami menuntut agar semua yang ditahan, termasuk warga Malaysia, dibebaskan serta-merta tanpa syarat, di samping dijamin keselamatan dan hak mereka sebagai misi kemanusiaan antarabangsa.
2. Kemanusiaan dan Keamanan – Flotilla ini adalah misi keamanan global, membawa mesej solidariti dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terkepung di Gaza. Ia sama sekali tidak membawa sebarang ancaman ketenteraan.
3. Menghalang Bererti Membenarkan Genosid – Sebarang tindakan Israel menghalang flotilla ini adalah sama dengan memberi laluan kepada berterusannya genosid terhadap rakyat Palestin. Menghalang bantuan makanan, ubatan, dan sokongan moral adalah satu jenayah kemanusiaan yang tidak boleh diterima sama sekali.
4. Lautan Antarabangsa Adalah Kawasan Bebas – Misi ini berlayar melalui ruang laut antarabangsa yang bebas, dan sebarang bentuk sekatan atau serangan Israel adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa, kedaulatan maritim, dan hak asasi manusia.
5. Keberanian Rakyat dalam Misi Sumud – Mereka yang berada dalam flotilla adalah insan berani yang mengambil risiko tinggi demi memecahkan tembok kepungan kejam oleh regim Zionis. Tindakan mereka adalah simbol ketabahan (sumud) rakyat dunia menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.
Seruan kepada Dunia Antarabangsa – WADAH menyeru PBB, OIC, Liga Arab, ASEAN, Kesatuan Eropah serta semua negara berperikemanusiaan untuk:
1. Menjamin keselamatan flotilla ini daripada serangan Israel. 2. Menghentikan sekatan tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza. 3. Mengiktiraf misi flotilla sebagai usaha sah di bawah prinsip undang undang antarabangsa.
4. Memohon negara asal sukarelawan terlibat menghantar bantahan rasmi terhadap penahanan dan segera menggerakkan bantuan diplomatik.
Komitmen Malaysia dan WADAH – WADAH menyokong penuh pendirian tegas YAB Perdana Menteri Malaysia yang lantang memperjuangkan isu Palestin di pentas dunia. Kami juga menggesa rakyat Malaysia agar terus berdiri teguh bersama Palestin dengan doa, sokongan moral, serta mobilisasi solidariti kemanusiaan.
WADAH menegaskan bahawa perjuangan flotilla ini bukan hanya tentang membawa bantuan, tetapi tentang meruntuhkan tembok kezaliman, membela hak rakyat Palestin, dan menegakkan maruah kemanusiaan sejagat.
“Menghalang flotilla adalah menghalalkan genosid. Membiarkan flotilla mara adalah membuka ruang kepada keamanan.”