20 Februari 2026
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan menjalin kerjasama dengan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi melaksanakan dua Program Masterclass dan tiga Program Bangkit di Sabah sepanjang tahun 2026.
Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, program itu yang akan diadakan di Kota Kinabalu dan Kundasang merangkumi pelbagai bidang termasuk pertanian, industri kreatif dan eko pelancongan.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama strategik INSKEN bersama agensi-agensi negeri Sabah yang lain termasuk Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).


“Saya menghargai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh INSKEN dalam usaha membangunkan usahawan di Sabah selama ini.
“Bagi program tahun 2025, di bawah inisiatif yang dilaksanakan INSKEN di Sabah, 72 peratus usahawan mencatat peningkatan hasil jualan minimum 25 peratus, mewujudkan 128 peluang pekerjaan baharu, menjana nilai gandaan 6.1 kali daripada peruntukan dana program serta purata peningkatan margin keuntungan sebanyak 44 peratus, dan juga melalui INSKEN mini Coaching dengan 95% usahawan berjaya menambahbaik produk/servis melalui aspek yang diukur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan delegasi INSKEN yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Viviantie Sarjuni.
Ewon turut merakamkan ucapan tahniah kepada Viviantie atas penerimaan Schwab Foundation Awards sempena World Economic Forum Annual Meeting 2026 di Davos, baru-baru ini.

Sementara itu, Viviantie berkata Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan Datuk Ewon ketika menerajui Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP) tiga tahun lalu telah membawa perubahan ketara dalam pembangunan keusahawanan termasuk di INSKEN.


“Saya bangga kerana melalui Dasar Pandang Ke Timur itulah kita telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Kita tidak memohon, tetapi mereka menilai kerja-kerja yang dilaksanakan termasuk usaha INSKEN sebelum memutuskan untuk memberikan anugerah itu.
“Kita adalah rakyat Malaysia pertama yang menerima anugerah tersebut. Datuk Ewon telah meninggalkan banyak legasi di KUSKOP dan sebagai rakyat Sabah saya sangat berbangga. Saya juga gembira kerana banyak program yang akan kita laksanakan Bersama MINDET selepas ini.
“Selain lima program yang dirancang bersama MINDET tahun ini, kami juga merancang lebih banyak program keusahawanan di Sabah dengan mengambil kira keluasan negeri ini yang memerlukan pelaksanaan program mencakupi seluruh daerah,” katanya.
Mengenai pencapaian keseluruhan Program Bimbingan INSKEN Sabah 2025, Viviantie berkata ia mencatatkan RM3.9 juta nilai peningkatan jualan yang berjaya dijana menerusi empat kohort program bimbingan, Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC).
Menurut beliau, secara keseluruhan 72 peratus usahawan yang mengikuti program bimbingan INSKEN Sabah tahun lalu mencatat peningkatan prestasi perniagaan yang memberangsangkan.
Beliau turut memaklumkan lima peserta program IBBC di Sabah tersenarai sebagai peserta terbaik Program Bimbingan INSKEN Sabah 2025.
Mereka ialah Mohd Hafiz Abdullah, pengusaha Sorrow Beach Ecotourism, Tanjung Bangau, Kudat yang berjaya menjana peningkatan hasil jualan sebanyak 447 peratus; Juhilin Tutun dari Beaufort dengan peningkatan 72 peratus; Dul Alis, pengusaha kafe dan restoran yang mencatat peningkatan 205 peratus; Nurasyikin Norbin dari Kota Belud yang mencatat peningkatan 179 peratus menerusi gerai yang diusahakannya; serta Izhan Nasriq Imran dari Penampang yang mengusahakan produk Dimna Soda dengan peningkatan jualan sehingga 361 peratus.
