Merotai, Tawau – 28 November 2025 – Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi, mendedahkan ribuan penduduk di kawasan itu masih terperangkap dalam proses dokumentasi pengenalan diri yang terlalu lama, ada yang menunggu sehingga lima tahun hanya untuk mendapat kelulusan MyKad atau surat beranak lewat daftar.
Dalam satu video yang dimuat naik di media sosialnya hari ini, Datuk Ruji menunjukkan contoh kes seorang penduduk yang memohon sejak 2022 tetapi tidak bergerak hampir dua tahun walaupun sudah berulang kali ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan membuat semakan melalui Sistem Semakan Pengesahan Kes (SSPK).
“Apabila saya bantu buat semakan semula mengikut prosedur yang betul, Alhamdulillah kes ini berjaya diselesaikan tahun ini. Begitu juga kes anak beliau yang tertangguh dua tahun sebelum ini,” jelas Datuk Ruji yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.
Beliau menegaskan bahawa sepanjang ini beliau hanya membantu kes-kes genuine: dokumen lengkap, layak dari segi undang-undang, tetapi tersekat akibat proses semakan berlapis dan lambat.
“Masih ramai lagi yang menghadapi situasi sama. Ada yang tunggu tiga, empat, bahkan lima tahun. Ini bukan salah rakyat, ini masalah sistem dan kekurangan wakil rakyat yang proaktif,” tegasnya.
Jika diberi amanah sebagai ADUN Merotai, Datuk Ruji berjanji akan mewujudkan saluran khas dan terus memantau kes-kes dokumentasi tertangguh supaya tiada lagi rakyat Merotai yang tertinggal hanya kerana birokrasi.
Isu dokumentasi lewat merupakan antara aduan terbesar di kawasan pedalaman Sabah, terutama melibatkan anak kelahiran lewat daftar dan penduduk tanpa dokumen yang terpaksa berulang-alik ke bandar dengan kos tinggi.

