KULIM, 16 Januari* – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa Jualan Termurah MADANI yang diadakan pagi tadi di Padang Taman Selasih, Kulim berjaya menawarkan barangan keperluan dapur pada harga sangat murah, sehingga mendapat sambutan hangat dan ucapan terima kasih daripada orang ramai.
Dalam satu hantaran di media sosialnya, beliau berkongsi tawaran menarik ayam segar yang dijual pada harga RM8 sekilogram.
“Ayam 1kg RM8… 1 ekor berat 1.7kg… Depa tolak 2 ekor RM15,” tulis beliau sambil menekankan betapa murahnya harga tersebut.
Beliau menyifatkan program itu sebagai “memang betul-betul murah” dan mendedahkan ramai pengunjung yang mendekatinya secara peribadi untuk menyatakan rasa lega serta ucapan terima kasih.
“Ramai yang tegur saya, kata lega dan ucap terima kasih sebab program macam ni betul-betul bantu ringankan belanja dapur, terutama bila harga barang masih jadi kerisauan ramai,” tambahnya.
Program jualan murah ini merupakan salah satu inisiatif yang dianjurkan melalui Pusat Khidmat beliau. Saifuddin Nasution turut memberi jaminan bahawa usaha sebegini tidak akan berhenti setakat ini.
“InsyaAllah kita tak berhenti setakat ni. Kita akan bawa program macam ni ke kawasan-kawasan lain pula, supaya lebih ramai boleh rasa manfaatnya,” katanya.
Jualan Termurah MADANI merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang masih menjadi kebimbangan utama ramai, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
