Oleh Affan Nasaruddin
Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan. Kehadiran bulan yang mulia ini sentiasa dinanti-nantikan sebagai peluang keemasan untuk memperbanyakkan ibadah, memperbaiki diri serta menyemai nilai kesyukuran dan keikhlasan dalam setiap tindakan. Namun, di sebalik penghayatan spiritual yang mendalam, Ramadan juga membawa satu dimensi lain yang sering terlepas pandang iaitu tanggungjawab kita terhadap kelestarian alam sekitar.
Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi latihan membentuk disiplin diri, mengawal nafsu dan menghayati erti kesederhanaan selari dengan sifat wasatiyyah. Nilai inilah yang sepatutnya diterjemahkan dalam cara kita berbelanja, menyediakan makanan dan menguruskan sisa sepanjang bulan Ramadan.
Ironinya, saban tahun isu pembaziran makanan kembali menjadi tajuk utama di media massa. Berdasarkan data oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), dianggarkan sekitar 4,561.61 tan sehari sisa makanan dihasilkan setiap hari sepanjang Ramadan. Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi cerminan bahawa semangat kesederhanaan yang diajar melalui ibadah puasa masih belum benar-benar membudaya dalam amalan harian.
Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas terutama di bazar Ramadan. Pelbagai juadah yang menarik dan menggoda selera sering mendorong pembelian secara berlebihan. Akhirnya, sebahagian makanan tidak habis dimakan mahupun dijamah dan berakhir sebagai sisa. Dalam keterujaan menyambut waktu berbuka, kita kadangkala terlupa bahawa setiap makanan yang dibazirkan mewakili sumber yang telah digunakan seperti air, tenaga, tanah dan tenaga kerja manusia. Pembaziran makanan bukan sahaja isu moral dan agama, tetapi juga isu alam sekitar yang memberi kesan langsung kepada peningkatan pelepasan gas rumah hijau di tapak pelupusan.
Selain pembaziran makanan, penggunaan plastik sekali guna turut meningkat dengan ketara sepanjang Ramadan. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Malaysia untuk membimbit pelbagai beg plastik berwarna-warni dari bazar ke rumah. Bekas polisterin, cawan plastik dan sudu pakai buang digunakan hanya untuk tempoh yang singkat sebelum dibuang. Kitaran guna dan buang ini memberi tekanan kepada sistem pengurusan sisa negara serta meningkatkan risiko pencemaran sungai dan laut.
Perubahan kecil sebenarnya mampu membawa impak besar. Pengunjung bazar boleh membawa beg guna semula, bekas makanan sendiri atau botol minuman sendiri. Tindakan ini mungkin kelihatan remeh, tetapi jika diamalkan secara kolektif oleh jutaan rakyat Malaysia, jumlah plastik yang dapat dikurangkan adalah amat signifikan.
Peniaga pula boleh beralih kepada pembungkusan mesra alam seperti bahan berasaskan kertas atau boleh dikompos. Walaupun faktor kos sering menjadi cabaran, pendekatan inovatif dan sokongan daripada pihak berkuasa tempatan mampu membantu mengimbangi perbezaan tersebut. Malah, peniaga boleh menjadi agen perubahan dengan menggalakkan pelanggan membawa bekas sendiri dan menyediakan insentif kecil kepada mereka yang berbuat demikian.
Kebersihan tapak bazar juga perlu diberi perhatian serius. Pembuangan sisa makanan dan minyak masak terpakai ke dalam longkang bukan sahaja mencemarkan sumber air, malah boleh menyebabkan sistem perparitan tersumbat serta mengundang kehadiran perosak.
Tanggungjawab kelestarian juga tidak terletak di bahu pengguna dan peniaga semata-mata. Pengurusan masjid dan surau turut boleh memainkan peranan penting, khususnya dalam penganjuran majlis berbuka puasa dan moreh. Inisiatif seperti mengasingkan sisa, menyediakan tong kitar semula yang jelas berlabel serta mengurangkan penggunaan plastik sekali guna mampu memberi contoh teladan kepada komuniti setempat.
Penggunaan pinggan, cawan dan perkakas guna semula juga wajar digalakkan bagi mengurangkan lambakan sisa setiap malam sepanjang Ramadan. Apabila institusi agama menunjukkan kepimpinan dalam amalan lestari, mesejnya akan lebih mudah dihayati oleh masyarakat.
Dalam masa yang sama, orang ramai yang memilih untuk berbuka di kawasan awam seperti taman atau dataran juga perlu memainkan peranan masing-masing. Kebersihan hendaklah sentiasa dijaga dan sisa dibawa pulang atau dibuang ke tempat yang disediakan. Sesungguhnya kebersihan adalah sebahagian daripada ibadah. Ramadan seharusnya mencerminkan akhlak dan tanggungjawab yang tinggi, termasuk dalam menjaga ruang awam yang dikongsi bersama.
Hakikatnya, Ramadan ialah bulan transformasi. Jika kita mampu menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari, kita juga mampu menahan diri daripada pembaziran dan sikap tidak peduli terhadap alam. Melestarikan Ramadan bermaksud menghayati nilai kesederhanaan secara menyeluruh termasuklah dalam ibadah, perbelanjaan dan pengurusan sumber.
Lebih penting lagi, semangat kelestarian ini tidak seharusnya terhenti apabila Syawal menjelang. Ramadan wajar menjadi titik tolak kepada perubahan gaya hidup yang lebih bertanggungjawab sepanjang tahun. Dengan menjadikan kelestarian sebagai sebahagian daripada penghayatan ibadah, kita bukan sahaja mendekatkan diri kepada Allah, malah memelihara bumi sebagai amanah yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang.
Ramadan mendidik kita menjadi insan yang lebih baik. Maka biarlah kebaikan itu turut dirasai oleh alam sekitar yang menjadi tempat kita berpijak dan berlindung.

Affan Nasaruddin ialah Pegawai Penyelidik di Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC)
